suria

Terkejut Tahu Anak Kemalangan Dari Swafoto Polis

Ibu kepada seorang mangsa kemalangan mengetahui berita mengenai anaknya menerusi gambar swafoto dua polis yang dimuat naik di media sosial. Foto Salisbury Police

SEORANG ibu terkejut mendapat tahu anak perempuannya terbabit dalam nahas jalan raya selepas seorang anggota polis mengambil gambar swafoto berlatarkan kereta anaknya yang terbalik.

Menerusi gambar yang menunjukkan dua anggota dari Polis Wiltshire di barat daya England itu, ibu kepada Georgia Oak dapat melihat kereta milik anak perempuannya terbalik di sebuah jalan yang dilitupi salji.

Keterangan gambar swafoto tersebut menyebut: "Sesetengah gambar tidak perlu sebarang kata-kata. Banyak amaran supaya memandu berhati-hati hari ini dan syukur tiada yang cedera di dalam insiden ini."

Bagaimanapun Georgia yang merupakan kakitangan hospital di Salisbury membalas: "Ia adalah kereta saya dan saya OK. Tetapi inilah cara ibu saya mengetahui saya terbabit dalam kemalangan.

"Saya sangat menghargai mereka membantu dan betapa cepatnya mereka datang ke sana (lokasi kejadian)."

Pihak polis kemudian membalas: "Saya minta maaf kerana ibu anda mengetahui dengan cara begini, tetapi kami berhati-hati untuk tidak memaklumkan (butiran) tentang anda atau kereta anda, dan menegaskan bahawa tiada sesiapa yang cedera. 

"Kereta boleh diganti, manusia tidak.

"Sebagai penjelasan, gambar tidak diambil sehingga pegawai telah berurusan dengan pasukan kecemasan dan memaklumkan mengenai bahaya jalan-jalan dalam keadaan begini.

"Posting itu membantu untuk menyebarkan mesej dengan selamat dan pantas, inilah cara yang positif di media sosial untuk menyampaikan maklumat," katanya. - Mirror UK

swafoto

Artikel Lain