suria

iPhone Punya Hal, Lelaki Ini Ditemui Terbaring Dalam Mangkuk Tandas

-foto Lznews

SEORANG lelaki di Liuzhou, wilayah autonomi Guanxi di China, menjadi tajuk utama berita baru-baru ini selepas tangannya tersekat dalam lubang tandas ketika cuba mengambil iPhone yang terjatuh.

Lelaki itu, yang hanya dikenali sebagai Tang, telah minum bersama beberapa rakannya di sebuah kafe hotel tempatan, hujung minggu lalu.

Pada satu ketika dia terpaksa pergi ke tandas dan memeriksa telefonnya sambil melepaskan hajat di tandas mencangkung.

Malangnya Tang yang dalam keadaan khayal tidak sengaja menjatuhkan iPhone 8 yang baru dibelinya ke dalam tandas.

Tang telah membayar kira-kira 8,000 yuan (RM5,033) untuk telefon bimbit itu dan dia tidak sanggup membiarkan begitu sahaja.

Jadi sebaik sahaja iPhone itu jatuh ke lubang tandas, dia terus menyeluk masuk tangannya tetapi tidak dapat mencapainya.

-foto Lznews

Tidak putus asa, dia terus menyeluk tangannya sampai ke paras bahu.

Pada ketika itu, Tang menyedari dua perkara bahawa dia tidak dapat mencapai telefonnya dan tangannya tersekat dalam lubang tandas awam.

Terlalu malu untuk meminta bantuan, Tang menghabiskan masa selama 20 minit untuk menarik keluar tangannya tetapi anggita badannya itu membengkak akibat tekanan dan tidak lama kemudian mula menyedari bahawa tangannya akan terus tersekat jika tiada bantuan.

Jadi dia mengenepikan malunya dan meminta bantuan. Tukang cuci mendapati dia terbaring dalam mangkuk tandas dan segera memanggil anggota bomba.

Menurut Lznews, anggota bomba terpaksa memecahkan tandas itu untuk membebaskan Tang, yang lengan kanannya bengkak dan bercalar.

Walaupun lengannya selamat tetapi tidak iPhone 8nya.

Tang bagaimanapun mungkin dapat membeli telefon baharu, dengan wang pampasan yang diperolehnya dari hotel.

Global Times melaporkan bahawa lelaki itu membuat rundingan pampasan dengan hotel sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

iphone 8, iphone jatuh

Artikel Lain