suria

Trump Dikritik Main Golf Ketika Penduduk Hawaii Panik

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dihujani kritikan kerana meneruskan aktiviti bermain golf ketika penduduk Hawaii dilanda panik susulan amaran serangan peluru berpandu balistik, Sabtu lalu.

Amaran bedilan peluru berpandu yang dihantar kepada penduduk Hawaii itu, bagaimanapun telah diisytiharkan palsu.

Ia dihantar menerusi telefon bimbit dan amaran sama dipancarkan menerusi televisyen dan stesen radio tempatan.

Semasa amaran itu tersebar, Trump dilapor berada di Trump International Golf Club di West Palm Beach, Florida.

Sehingga Ahad, Trump masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau peribadi di Twitter berhubung amaran kecemasan yang mencetuskan kekeliruan di seluruh negeri AS terbabit.

Gabenor David Ige meminta maaf kepada penduduk Hawaii, dengan mengatakan seorang kakitangan telah menekan butang yang salah.

Kenyataan Ige menyusul selepas Agensi Pengurusan Kecemasan (Ema) Hawaii, memuat naik tweet mengesahkan tiada ancaman peluru berpandu di negeri itu.

Sistem amaran itu diwujudkan berikutan potensi jarak antara Hawaii dan Korea Utara.

Pada Disember lalu, negeri itu menguji siren amaran nuklear buat kali pertama sejak berakhirnya Perang Dingin. - Huffingtonpost

Trump, Hawaii

Artikel Berikut

Artikel Lain