Ibu 4 Anak Tertipu, 'Jejaka Impian' Jadi Beban! - Dunia | mStar

Ibu 4 Anak Tertipu, 'Jejaka Impian' Jadi Beban!

-foto eldiariony.com

SEORANG ibu yang 'bergelut' membesarkan empat anaknya menganggap kesempitan hidupnya akan berakhir selepas bertemu dengan seorang lelaki dari Wales yang dikenalinya dalam talian.

Selepas enam bulan perbualan dalam talian, Glyn Thomas, 46 tahun, memberitahu wanita berkenaan, Wilfa Soto Peguero bahawa dia mahu berjumpa dan membantunya membesarkan anak-anaknya.

Wanita itu sebenarnya membuat kesilapan besar apabila menerima pelawaan Thomas dan dia terpaksa menghabiskan masa beberapa bulan untuk 'lepas' daripada lelaki tersebut.

Peguero dan Thomas bertemu di laman web temu janji dalam talian Badoo, malah terpaksa menggunakan Google Translate untuk memahami mesej masing-masing.

Hubungan mereka berjalan dengan baik, jadi apabila Thomas mahu datang berjumpa dengannya dan membantu membesarkan anak-kanaknya, Peguero berasa teruja.

Peguero meminta lelaki itu menghantar wang kepadanya, bagi membolehkan dia dapat menjemputnya di lapangan terbang, tetapi permintaan itu tidak ditunaikan.

Thomas hanya memberitahu bila dia akan tiba, tetapi Peguero tidak mahu membiarkannya keseorangan, jadi dia meminjam wang dan pergi berjumpa Thomas.

Wanita dari Republik Dominican ini menjadi lebih curiga terhadap teman lelakinya itu selepas melihat tiket kapal terbangnya yang menunjukkan perjalanan sehala.

Dia kemudian menyedari bahawa lelaki itu juga tidak mempunyai wang dan dia yang perlu menyaranya, bukan seperti yang diharapkannya sebelum ini.

Peguero bagaimanapun terpaksa membawa lelaki itu ke rumahnya sewanya di mana dia cuba menjelaskan bahawa membesarkan empat anak sudah cukup sukar dan dia tidak mampu untuk menjaga Thomas.

Thomas hanya menatapnya seperti tidak faham sepatah pun yang diucapkan oleh Peguero.

"Saya telah menerangkan kepadanya pelbagai cara. Jika saya ada rumah sendiri, saya akan biarkan dia tinggal bersama saya, tetapi saya tiada rumah," kata Peguero kepada wartawan tempatan, selepas percubaannya untuk bercinta di internet gagal dan tular.

Setelah lebih dari sebulan menyediakan makanan dan tempat tinggal untuk Thomas, Peguero meminta bantuan di media sosial tentang tetamu yang tidak diingini itu dan meminta bantuan untuk dia dihantar pulang ke negaranya.

Peguero berkata dia tidak mempunyai pekerjaan, hidup susah dan 'jejaka impian' yang ditemui dalam talian akhirnya menjadi satu beban yang besar.

Thomas hanya menghabiskan masanya di sekitar rumah, bermain dengan anak-anak dan berjalan mengelilingi kawasan kejiranan.

"Saya membuat video ini untuk orang muda dan wanita, supaya mereka belajar daripada kejadian ini dan tidak cuba mencari cinta dalam talian," kata Pugeoro dalam video itu.

"Itulah kesilapan saya dan saya tidak akan melakukannya lagi. Saya tidak sampai hati untuk tidak memberikannya makanan walaupun dia tidak memberi saya wang, tetapi saya tidak dapat menjaganya."

Video itu tersebar dengan cepat di media sosial dan mendapat perhatian stesen berita tempatan.

Peguero mengaku berasa terhina kerana ditertawakan ramai orang tetapi dia juga melihatnya sebagai peluang untuk merayu kepada pihak berkuasa untuk membantunya.

Ketika itu Thomas telah tinggal bersamanya selama sebulan dan dia sudah terlalu banyak berhutang.

Baru-baru ini, Peguero menuduh Thomas melakukan keganasan domestik dan dia ditahan polis dan diarahkan menjalani pemeriksaan perubatan di sebuah hospital di Santo Domingo.

Seorang hakim juga memutuskan bahawa dia harus diterbangkan ke Britain selepas ujian perubatan.

Tidak jelas sama ada aduan keganasan domestik itu adalah percubaan Peguero untuk mengusir Thomas dari rumahnya atau jika ia benar-benar perbuatan keganasan.

Paling mengejutkan, selepas kisah cinta Peguero dan Thomas yang gagal tersebar, wartawan di negara asalnya melakukan beberapa siasatan dan mendapati bahawa 25 daripada 70 kawan Facebooknya (semua wanita) berasal dari Republik Dominican.

Ia agak pelik memandangkan dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan negara Caribbean itu dan dia sebenarnya tidak pernah pergi ke luar negara sebelum ini.

Selepas pendedahan ini, wartawan menghubungi ibu bapa lelaki itu dan mengetahui bahawa Peguero adalah seorang daripada sekurang-kurangnya empat wanita Dominikan yang diminati oleh Thomas.

"Sekurang-kurangnya ada tiga wanita lain di Republik Dominican yang dia telah membuat pelbagai janji," kata ibu Thomas, Wendy, kepada The Sun.

Ternyata Peguero adalah orang yang pertama yang menerima lawatannya.

Ibu bapa Thomas berkata anak mereka tidak mempunyai pekerjaan, tiada wang dan tinggal di kompleks majlis.

Malah, dia tidak mempunyai wang untuk membeli tiket pesawat ke Republik Dominika, jadi dia meminjamnya daripada mereka dengan menyatakan bahawa dia akan berkahwin dengan seorang wanita dari Amerika Syarikat.

Walaupun mereka mendapat tahu tentang masalah yang dihadapinya dari akhbar, ibu bapa Thomas tidak mahu membantu.

"Kami tahu sesuatu seperti ini akan berlaku tetapi dia tidak akan mendapat sebarang bantuan daripada kami," kata Wendy, 66 tahun.

"Majlis telah manarik balik tempatnya, jadi dia tiada tempat tinggal. Selagi dia tidak datang ke sini, saya tidak peduli. Jika dia muncul di pintu kami, saya akan menghubungi polis, saya telah melakukannya sebelum ini.

"Saya tahu saya ibunya tetapi saya harap dia tidak pernah dilahirkan."

cinta internet

Artikel Sebelum

Dihalau Selepas Buat Seks Dalam Bas

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Jurutera Mangsa Terkini Pakdua Shadi

Artikel Lain