32 Jam Tawan Puncak Rante Mario - Dunia | mStar

32 Jam Tawan Puncak Rante Mario

Peserta pendakian tersebut terdiri daripada APM Terengganu dan pengamal media beberapa agensi. - Facebook/ Rafi Akar Umbi

MAKASSAR (SULAWESI SELATAN): Selepas menempuh pendakian selama 32 jam, 12 pendaki Kembara Terengganu De Latimojong berjaya menakluk puncak Rante Mario, Gunung Latimojong setinggi 3,479 meter tepat pukul 12 tengah hari, Rabu.

Pendakian selama dua hari satu malam itu disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, pengamal media Terengganu iaitu Bernama, Kosmo!, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, RTM, Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Astro Awani, Pejabat Menteri Besar dan Kelab Eksplorasi Terengganu.

Ketua Koordinator, Mohd Rafi Kori, 38, berkata cabaran pendakian bermula dari pos satu di Desa Karangan pada 9 pagi Selasa yang mana pendaki diuji dengan laluan sempit serta memerlukan kekuatan tangan dan kaki untuk menyusur di tepi-tepi lereng bukit.

"Ada satu masa pendaki terpaksa menahan cuaca pergunungan tidak menentu yang disertai hujan lebat, suhu dingin mencecah 4 darjah Celsius dan angin kencang sepanjang pendakian untuk menawan puncak kelima tertinggi di Indonesia," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, bermula dari pos lima pada ketinggian 2,500 meter sehingga ke puncak, pendaki dapat menikmati pemandangan indah hutan lumut dan perkampungan Karangan yang saujana mata memandang.

"Alhamdulillah, kesemua pendaki selamat tiba di puncak pukul 12 tengah hari Rabu dan pendaki melakukan gimik kejayaan pendakian menggunakan pakaian tradisional berkain batik dan memakai terendak sebagai identiti warisan Melayu Nusantara.

"Lebih manis, pendaki Indonesia turut teruja dan bersama-sama merakam detik kenangan dengan mengibarkan bendera Malaysia dan Indonesia bagi menandakan hubungan akrab dan integrasi kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Chief De Mission yang juga Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata pendakian ini lebih bermakna  apabila pasukan kendaliannya turut membuat khidmat amal kepada penduduk Desa Karangan dengan menyampaikan bantuan kewangan dan keperluan harian.

"Alhamdulillah...syukur kepada Allah perancangan untuk menawan puncak Rante Mario dipermudahkan dengan kesemua 12 pendaki berjaya turun dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan selepas menempuh perjalanan yang panjang dan mencabar.

"Saya selaku ketua ekspedisi berasa agak tersentuh melihat kedaifan penduduk di Desa Karangan yang serba kekurangan dan jauh ketinggalan dari segi ekonomi.

"Diharap dengan bantuan yang dihulurkan dapat memberi sedikit kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat di situ," katanya.

Artikel Sebelum

Jokowi Jalan 2km Ke Majlis Tentera

Artikel Berikut

Wanita Hilang Dompet 30 Tahun Lepas Dicari

Artikel Berkaitan

Artikel Lain