suria

ISIS Mengaku Terlibat Serangan Di Marseille

Dua wanita maut dalam serangan menggunakan pisau pemotong daging di Marseille.

MILITAN ISIS mengaku bertanggungjawab melakukan serangan menggunakan pisau pemotong daging yang mengakibatkan kematian dua wanita di Marseille.

Mangsa berusia 17 dan 20 tahun itu mengalami kecederaan serius akibat dikelar pada leher, selain ditikam di bahagian dada dan perut.

Saksi memberitahu, lelaki berpakaian hitam telah menyerang mangsa di luar stesen kereta api.

Bagaimanapun, suspek telah ditembak mati anggota tentera yang menjalankan rondaan di Stesen Keretapi Saint Charles susulan langkah berjaga-jaga yang dirangka Perancis.

Suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun dan mempunyai rekod jenayah berdasarkan pemeriksaan cap jari.

Sumber polis berkata, suspek melaungkan "Allahu Akbar" sebelum menyerang mangsa di kawasan itu.

Setakat ini, tiada dokumen perjalanan ditemui pada suspek.

Sementara itu, saksi yang dikenali sebagai Hajar berkata, dia terdengar dua das tembakan sebaik keluar dari stesen kereta api itu.

"Orang ramai mula berlari sebaik terdengar bunyi tembakan bagi menyelamatkan diri masing-masing," katanya.


Marseille, ISIS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain