Tutup Taman Tema, Zoo Akibat Irma - Dunia | mStar

Tutup Taman Tema, Zoo Akibat Irma

LAKE BUENA VISTA: Taman tema dan hiburan terpaksa ditutup sekurang-kurangnya dua hari susulan ancaman taufan Irma yang mula membadai sekitar Florida.

Disneyland dibuka sehingga pukul 9 malam Sabtu, beberapa jam sebelum taufan itu diramal melanda kawasan itu, manakala empat taman Disney di barat daya Orlando akan ditutup hari ini dan esok.

Beberapa taman hiburan lain di sekitar kawasan sama, iaitu saingan mereka seperti Universal Studios, Legoland dan Sea World juga dijadualkan ditutup hari ini dan esok.

Laporan Reuters juga menyebut di MIAMI, pengurusan Zoo Miami mengambil langkah awal dengan memindahkan semua haiwan, termasuk dari spesis terancam ke tempat penyimpanan khas yang dibina dari konkrit tebal.

Mereka turut menguji beberapa peralatan kecemasan sebagai persediaan menghadapi taufan itu yang dijangka tiba di Florida pada Ahad.

Pengarah Komunikasinya, Ron Magill berkata, fokus utama adalah pada mesin janakuasa kerana ia membekalkan talian hayat untuk akuarium dan haiwan di dalam air.

Sementara itu CNN memetik media antarabangsa menyebut, kira-kira 5.6 juta penduduk Florida telah diarahkan  berpindah meninggalkan negeri tersebut.

Ia merupakan pemindahan berskala besar dalam sejarah negara berkenaan.

Pusat Taufan Nasional berkata, ribut itu diramal semakin kuat dan akan membadai Florida Keys sebagai taufan kategori lima iaitu tahap taufan terkuat dengan kelajuan angin kira-kira 258 kilometer sejam dan menghasilkan ombak setinggi 3.66 meter.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Fema) pula melaporkan, Amerika Syarikat hanya pernah menyaksikan tiga ribut kategori lima sejak 1981.

Katanya, taufan Irma adalah lebih besar berbanding taufan Andrew yang menjadi taufan kategori lima terakhir pernah melanda Amerika Syarikat pada 1992. 



Disneyland , Zoo Miami

Artikel Sebelum

Gempa, Katia Ragut 67 Nyawa Penduduk Mexico

Artikel Berikut

Coklat Merah Jambu Bakal Temui Pelanggan

Artikel Lain