suria

Ketua Agama Didakwa Merogol, Kacau-Bilau Berlaku

NEW DELHI: Keganasan meletus di Haryana, utara India selepas seorang ketua agama yang mempunyai jutaan pengikut didapati bersalah merogol dua pengikut wanitanya.

Lebih 30 orang dilaporkan terbunuh sementara kira-kira 200 orang cedera dan beratus-ratus orang lagi ditangkap oleh polis ekoran kacau-bilau yang berlaku itu.

Puluhan ribu pengikut ketua sekta Dera Sacha Sauda, Dr Gurmeet Ram Rahim Singh Ji Insan mencetuskan huru-hara sambil mendakwa guru mereka tidak bersalah.

Keganasan paling buruk dilaporkan berlaku di Panchkula, apabila mahkamah Biro Siasatan Pusat khas (CBI) mendapati beliau bersalah pada Jumaat 25 Ogos lepas.

Panchkula, yang terletak kira-kira 230 kilometers dari Delhi adalah bandar satelit Chandigarh yang juga ibu negeri Punjab dan Haryana.

Saluran televisyen India menayangkan kejadian perusuh menyerang polis dan petugas stesen televisyen, membakar bangunan dan merosakkan kenderaan. Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh di Panchkula dan dua orang di bandar Sirsa, yang juga pusat komun ketua agama itu.

Pihak berkuasa pada Sabtu lepas menggambarkan keadaan sebagai 'tegang tetapi terkawal' dan bersiap-sedia untuk menghadapi lebih banyak keganasan apabila mahkamah menjatuhkan hukuman Isnin 28 Ogos ini.

Kerajaan Haryana mengerahkan beribu-ribu polis dan pasukan separa tentera sepanjang minggu ini untuk mencegah meletusnya rusuhan seperti yang berlaku pada Jumaat lepas.Kira-kira 200,000 pengikut Ram Rahim Singh berkumpul di Panchkula dan pihak berkuasa sedang mengambil langkah supaya meninggalkan bandar itu.

Tentera India dan pentadbiran tempatan merayu supaya penyokong-penyokong ketua agama itu termasuk wanita dan kanak-kanak yang berhimpun di ibu pejabat beliau supaya meninggalkan bangunan berkenaan.

Negeri lain turut mengerahkan lebih ramai anggota polis dan pasukan separa tentera berkawal di tempat-tempat yang sensitif sejak keganasan meletus Jumaat lepas.

Delhi juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan kawasan keselamatan ditingkatkan di stesen kereta api dan perhentian bas. Dua kejadian membakar dilaporkan di ibu negara India.

Pasukan tentera digerakkan dan perintah berkurung dilkuatkuasakan di 10 daerah Malwa, Punjab yang mempunyai ramai penyokong ketua agama itu.

Pemimpin sekta berusia 50 tahun itu yang pernah muncul dalam filem di mana beliau sendiri menulis skrip serta konsert mendakwa mempunyai puluhan ribu pengikut di tempat-tempat seperti Haryana, Punjab, Delhi dan Uttar Pradesh.

Beliau diberi gelaran 'Guru Mengerlip' kerana gemar memakai pakaian dengan pelbagai hiasan mempunyai pengikut termasuk ahli politik tertinggi, ahli sukan dan jutawan.Sekta Dera Sacha Sauda menganggap kumpulan itu sebagai 'pertubuhan kebajikan sosial dan kerohanian yang berteraskan kemanusiaan'.

Ram Rahim Singh juga dilaporkan diberi perlindungan keselamatan yang lazimnya diberikan individu yang berisiko tinggi seperti ahli politik utama dan pemimpin kanan kerajaan.

Beliau dikatakan mempunyai koleksi kereta mewah termasuk Lexus, Mercedes, Audi dan BMW.

Meskipun beliau seorang tokoh penuh kontroversi, ketua sekta ini juga mempunyai penyokong dalam kalangan kumpulan elit politik India.

Sakshi Maharaj, ketua Bharatiya Janata Party (BJP), yang memihak kepada Ram Rahim Singh, dengan menyatakan hanya "seorang" yang membuat tuduhan merogol itu tetapi ketua agama itu mempunyai puluhan ribu pengikut.

"Ianya satu konspirasi untuk mencemarkan budaya India," beliau memberitahu pemberita.

Menurut laporan dalam media India, seorang pengikut wanita menulis tanpa mendedahkan identitinya, kepada bekas perdana menteri Atal Bihari Vajpayee dan pegawai kanan pada 2002 dengan dakwaan salah laku seksual berlaku di ibu pejabat ketua agama itu.

Pihak CBI melancarkan siasatan dan menyoal ramai pengikut wanita 'sadhvi' untuk mengumpul bukti.

Seorang wanita yang tidak didedahkan namanya dilaporkan dalam Hindustan Times dia digalakkan oleh ibu bapanya menyertai kumpulan itu dan tinggal dengan kira-kira 40 orang wanita.

Dua tahun kemudian wanita itu menjadi 'sadhvi' dan Ram Rahim Singh memanggilnya ke dalam kediamannya 'guf' (gua) dan merogolnya.  

"Seorang daripada sadhvi dalam kenyataannya berkata dia masuk ke dalam bilik ketua agama itu dan pintu tertutup secara automatik dan dia mendapati ketua agama itu menonton filem pornografi di skrin yang besar," demikian menurut laporan Times of India.

Seorang mangsa berkata dia diberitahu dia akan menjadi 'suci' setelah dirogol.

Ketua agama itu menafikan dakwaan berkenaan dan berkata beliau "tidak mampu untuk melakukan hubungan intim".

Beliau turut dituduh menggalakkan 400 pengikutnya pada 2015 untuk melakukan pengasian supaya mereka boleh mendekati "tuhan". 

Sekta berkenaan menafikan tuduhan ini.

Selepas mahkamah mendapati beliau bersalah pada Jumaat lepas, dia dibawa balik ke penjara dengan menaiki helikopter. -Bernama

Ketua Agama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain