suria

Rakyat Palestin Rai Kejayaan 'Tundukkan' Israel

PENDUDUK Palestin bersorak gembira sambil menyaksikan pasukan keselamatan Israel membawa keluar besi penghadang yang dipasang di laluan masuk ke kawasan perkarangan Masjid Al Aqsa pada 27 Julai 2017, - AFP

PENDUDUK Palestin pada Khamis meraikan kejayaan 'menundukkan' Israel apabila rejim Zionis terpaksa mengeluarkan lebih banyak peralatan keselamatan yang dipasang pada laluan masuk perkarangan Masjid Al Aqsa.

Pagar keselamatan, palang besi dan tiang untuk pemasangan kamera dialihkan daripada kawasan suci umat Islam itu susulan tunjuk perasaan berdarah pada minggu lalu dan desakan masyarakat antarabangsa.

Pada Selasa, Israel tunduk pada tuntutan Palestin untuk mengeluarkan alat pengesan logam di pintu masuk perkarangan kawasan tersebut.

Rakyat Palestin mula berkumpul di laluan masuk itu seawal pagi Khamis bagi meraikan kemenangan mendesak Israel mematuhi tuntutan mereka.

Ketegangan di Baitulmaqdis bermula apabila rejim Israel memasang alat pengesan logam susulan kes tikaman yang mengorbankan dua anggota polis rejim tersebut.

Tindakan Israel membangkitkan kemarahan penduduk Palestin yang enggan memasuki kawasan perkarangan Masjid Al Aqsa dan bersolat di kawasan jalan sejak lebih seminggu sebagai tanda bantahan.

Malah tunjuk perasaan ganas turut tercetus sehingga menyaksikan tujuh nyawa terkorban, empat penduduk Palestin dan tiga pendatang haram Yahudi.

Ratusan penduduk Palestin turut dilaporkan cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel.

Susulan ketegangan yang semakin memuncak dan dikhuatiri mencetuskan konflik yang lebih besar, Israel akhirnya akur untuk mengeluarkan alat pengesan logam dan lebih banyak peralatan dari kawasan tersebut.

Bagaimanapun, rejim Zionis enggan mengeluarkan kamera pemantauan, sebaliknya menambah lagi peralatan kamera yang lebih canggih. - Al Jazeera

Palestin, Israel, Al Aqsa

Artikel Berikut

Artikel Lain