suria

Terpaksa Kongsi Maklumat Dengan 'Mulut Tempayan'

Jambangan bunga diletakkan berhampiran Manchester Arena sempena memperingati mangsa kejadian serangan bom. - Ben Birchall/PA

PIHAK polis Britain telah kembali berkongsi maklumat dengan Amerika Syarikat (AS) selepas penggantungan sementara yang dilaksanakan.

Penggantungan itu disebabkan berlaku kebocoran maklumat oleh pegawai rasmi AS kepada wartawan mengenai perkembangan siasatan insiden pengeboman di Manchester, United Kingdom (UK).

Portal berita UK, The Guardian melaporkan, Penggantungan yang diumumkan pada awal pagi Khamis hanya bertahan selama 24 jam.

Tindakan itu dibuat bagi menyampaikan mesej kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di AS untuk menunjukkan kemarahan UK terhadap perbuatan negara itu mendedahkan maklumat sulit kepada wartawan AS.

Pegawai kanan anti keganasan UK, Mark Rowley mengesahkan bahawa pihaknya menerima 'jaminan terkini' daripada AS dan kini mula menjalin kerjasama erat kembali dengan mereka.

Maklumat sulit yang dimaksudkan adalah identiti pengebom berani mati, Salman Abedi dan beberapa maklumat lain yang diserahkan oleh polis Manchester dan pasukan anti keganasan Rowley yang berpengkalan di London kepada AS.

Pihak polis pada awalnya enggan mendedahkan nama pengebom itu sekurang-kurangnya bagi tempoh 36 jam kerana enggan rakan subahat Salman mengetahui tentang perkara tersebut.

Setiausaha Dalam Negeri UK, Amber Rudd mengadu kepada Setiausaha Negara AS (Keselamatan Dalam Negeri), John Kelly pada Rabu mengenai hal itu dan menuntut jaminan bahawa pendedahan seperti itu tidak akan berlaku lagi.

Bagaimanapun, hanya dalam tempoh beberapa jam selepas aduan itu dibuat, New York Times melakukan pendedahan terbesar iaitu butiran forensik bagi tapak bom termasuk gambar-gambar peletus bom dan beg galas di mana peranti ini dikatakan telah dibawa.

Serangan Manchester

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain