suria

Peluncur Ditemui Selepas Berada 30 Jam Dalam Air

Matthew Bryce

SEORANG peluncur, Matthew Bryce, 22, yang dilaporkan hilang di pantai Scotland berjaya diselamatkan oleh seorang penyelamat pantai kira-kira 21 kilometer dari pantai setelah berada lebih 30 jam di dalam air.

Mangsa yang berasal dari Glasgow, United Kingdom dilihat berada di Campbeltown, Argyll pada pukul 9 pagi Ahad lalu dipercayai dalam perjalanan ke lokasi peluncuran popular Pantai Westport berhampiran Teluk Machrihanish.

Bryce dipercayai hilang sebelum tanda penggera dinaikkan dan kemudian pasukan penyelamat mula mencari mangsa di pesisir pantai.

Pasukan penyelamat khuatir mangsa tidak dapat diselamatkan ketika ditemui berpaut di atas papan luncurnya, namun Bryce masih hidup dan kembali sedarkan diri pada pukul 7.30 pagi Isnin.

Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Cawangan Utara Irish, Dawn Petrie berkata, harapan pihaknya untuk menemui Bryce dengan selamat menjadi kabur setelah usaha pencarian memakan masa lebih 30 jam.

“Selepas berada terlalu lama di dalam air dan hari bertukar malam, kami cukup bimbang akan keadaan Bryce.

“Kru penyelamat yang menaiki helikopter begitu lega apabila mereka menemui mangsa bersama papan luncurnya kira-kira 21 km dari kawasan pantai,” ujarnya.

Kata Petrie, pakaian jenis neoprena yang dipakai Bryce ketika kejadian dipercayai membantunya untuk bertahan bagi tempoh yang lama di lautan.

“Dia mengalami hipotermia dan diterbangkan ke hospital di Belfast untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dia melakukan tindakan yang betul untuk menyelamatkan diri dengan berpaut kepada papan luncur itu,” jelasnya.

peluncur, Matthew Bryce

Artikel Berikut

Artikel Lain