suria

Anak Lelaki Ahli Parlimen Rusia Dipenjara 27 Tahun

WASHINGTON: Kesalahan serangan siber ke atas ribuan perniagaan mengakibatkan anak lelaki ahli politik Rusia dijatuhi hukuman penjara 27 tahun oleh mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Keputusan berkenaan menjadikan ia adalah hukuman berkaitan kesalahan menggodam komputer paling lama di AS.

Roman Seleznev, 32, didapati bersalah oleh juri di Seattle tahun lalu, kerana mewujudkan skim yang didakwa membabitkan pencerobohan ke dalam pusat komputer untuk mencuri nombor kad kredit dan menyebabkan firma AS kerugian AS$169 juta (RM743 juta).

Kerajaan Rusia menegaskan penangkapan Seleznev pada 2014 di Maldives adalah tidak sah.

Ia mengeluarkan kenyataan mengkritik hukuman itu dan menyatakan peguam Seleznev merancang mengemukakan rayuan.

"Kami percaya penangkapan Roman Seleznev yang sebenarnya diculik di wilayah negara ketiga adalah melanggar undang-undang," kata Kedutaan Rusia di Washington dalam laman Facebook.

Seleznev ialah anak lelaki Ahli Parlimen Russia, Valery Seleznev.

Sabitan itu menyusul siasatan selama sedekad oleh Perkhidmatan Rahsia AS, kata Jabatan Kehakiman dalam kenyataan akhbar.

Sejak Oktober 2009 hingga Oktober 2013, Seleznev dikatakan mencuri nombor kad kredit daripada lebih 500 perniagaan, memindahkan data kepada server di Virginia, Russia dan Ukraine dan menjual maklumat kepada laman web jenayah. - Reuters

Seleznev, Rusia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain