suria

Larangan Gajet Masuk Kabin, Britain Ikut Langkah AS

KOMPUTER riba antara peralatan elektronik yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke kabin pesawat berdasarkan larangan oleh Amerika Syarikat dan Britain. - AP

LONDON: Britain menjadi negara pertama mengikut jejak langkah Amerika Syarikat (AS) untuk melarang kemasukan peralatan elektronik tertentu ke dalam kabin pesawat melibatkan lapangan terbang dari majoriti negara Islam di Asia Barat dan Afrika Utara atas alasan keselamatan.

Terdahulu, AS menguatkuasakan larangan terhadap penumpang agar tidak membawa masuk gajet yang lebih besar daripada telefon pintar termasuk komputer tablet, pemain DVD mudah-alih, komputer riba dan kamera ke dalam kabin pesawat.

Peralatan terbabit hanya dibenarkan disimpan di ruang kargo dan didaftar masuk sebagai bagasi.

Larangan itu dikuatkuasakan selepas agensi perisikan AS mendapat maklumat bahawa militan Daesh membangunkan teknologi bom yang mampu disembunyikan dalam gajet untuk digunakan menyerang kepentingan negara tersebut.

Lapangan terbang di 10 negara Islam dikenakan larangan itu bagi mengekang serangan dilakukan ke atas negara Barat yang menjadi sasaran militan Daesh.

Peraturan itu dikuatkuasakan bermula Selasa melibatkan penerbangan yang memasuki AS dari Amman, Jordan; Kaherah; Istanbul; Jeddah dan Riyadh di Saudi Arabia; Kuwait City; Casablanca, Maghribi; Doha, Qatar; Dubaidan Abu Dhabi di Emiriyah Arab Bersatu.

Semua syarikat penerbangan yang terlibat iaitu Royal Jordanian Airlines, Egypt Air, Turkish Airlines, Saudi Arabian Airlines, Kuwait Airways, Royal Air Maroc, Qatar Airways, Emirates dan Etihad Airways diberi masa sehingga Jumaat untuk mematuhi peraturan tersebut.

Secara keseluruhan, kira-kira 50 penerbangan pada setiap hari yang memasuki AS akan terikat dengan peraturan ketat itu.

Selain Britain, Australia dijangka mengambil langkah sama walaupun kerajaan negara itu belum merancang untuk mengenakan peraturan larangan tersebut.

Larangan AS itu dijangka menyebabkan kelewatan berlaku di lapangan terbang yang dikenakan peraturan tersebut tetapi pentadbiran Presiden Donald Trump mendakwa, langkah terbabit tidak ada kaitan dengan larangan perjalanan ke atas enam negara Islam.

Bagaimanapun larangan itu hanya bersifat sementara seperti yang ditetapkan kerajaan AS iaitu pada 14 Oktober depan.

Larangan Gajet, Britain, AS, Kabin Pesawat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain