suria

Muis Perjelas Dasar 'Kek Hari Jadi Halal' McDonald's Singapura

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan media pada Selasa menjelaskan bahawa pihaknya menerima pakai pendekatan fleksibel berhubung amalan membawa masuk makanan luar di restoran yang disahkan halal.

Kenyataan itu dibuat selepas laporan memetik McDonald's Singapura sebagai berkata bahawa hanya kek hari jadi yang disahkan halal dibenarkan dibawa ke premisnya.

Sebaliknya, pelanggan boleh makan makanan dari restoran yang tidak mempunyai sijil pengesahan halal dalam kes-kes tertentu, seperti kek hari jadi dan makanan bayi, kata Muis.

Restoran yang mempunyai sijil halal boleh menggunakan budi bicara dalam kes-kes ini, selagi mereka memenuhi syarat-syarat berikut:

- Tiada pencemaran silang dan item itu tidak dibawa ke dapur, kawasan penyediaan makanan atau kemudahan penyimpanan.

- Hanya kutleri pakai buang digunakan untuk makanan luar.

- Item makanan itu dimakan dan mana-mana sisa-sisa hendaklah dibungkus dan dilupuskan serta-merta.

Muis berkata McDonald's Singapura berunding mengenai perkara ini sebelum membuat kenyataan media pada 5 Januari.

Ia menambah bahawa, pihaknya kemudian telah menghubungi McDonald's Singapura dan 'menghargai pendekatan McDonald's Singapura yang hanya membenarkan kek hari jadi yang disahkan halal di bawa di restorannya'.

Pengarah komunikasi dan hubungan kerajaan McDonald's Singapura, memberitahu The Straits Times pada Selasa bahawa McDonald's Singapura 'komited sepenuhnya kepada syarat-syarat dan prinsip-prinsip Sistem Pengurusan Kualiti Halal Singapura (HalMQ) dalam memastikan makanan yang ditawarkan sesuai untuk kegunaan rakan-rakan beragama Islam'.

Ini termasuklah memastikan bahawa tidak ada pencemaran silang dan makanan luar tidak dibawa ke dapur, kawasan penyediaan makanan atau kemudahan penyimpanan, katanya. - The Straits Times/Asia News Network

Artikel Lain