suria

Hina Pancasila Antara Punca Indonesia Gantung Kerjasama Tentera Dengan Australia

GAMBAR FAIL

JAKARTA: Sikap tidak beretika tenaga pengajar tentera Australia menghina Pancasila Indonesia dengan menyebutnya "Pancagila" adalah antara punca Tentera Nasional Indonesia (TNI) menghentikan sementara semua bentuk kerjasama ketenteraan dengan Australia.

Panglima TNI Jeneral Gatot Nurmantyo berkata kejadian itu berlaku semasa pegawai daripada Angkatan Darat TNI mengikuti kursus di Rejimen Perhidmatan Udara Khas Australia.

"Terlalu menyakitkan sehingga tidak perlu dijelaskan," katanya seperti dipetik oleh beberapa portal media pada Khamis.

Katanya perkara lain yang turut disentuh dalam kursus itu ialah kemerdekaan Timor Leste dan tuntutan kemerdekaan oleh Papua.

Beliau berkata perkara sedemikian tidak harus dijadikan bahan pendidikan kepada anggota TNI yang telah disemat dengan semangat mencintai ideologi bangsa dan negara.

Pada Rabu, TNI mengeluarkan kenyataan bahawa Indonesia telah menggantung kerjasama ketenteraan dengan Australia dan semua bentuk kolaborasi termasuk latihan ketenteraan, program pendidikan serta pertukaran dihentikan sejak bulan lepas.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo memberitahu sidang media pada Rabu bahawa isu tersebut tidak menjejaskan hubungan Indonesia dan Australia.

Katanya beliau juga telah mengarahkan Menteri Pertahanan Indonesia dan TNI menyelesaikan kemelut tersebut.

Indonesia pernah menggantung latihan ketenteraan dengan Australia pada 2013 apabila mendakwa perisik Australia cuba mencuri dengar perbualan telefon Presiden Indonesia ketika itu Susilo Bambang Yudhoyono.

Bagaimanapun latihan bersama tentera itu disambung semula setahun kemudian. - BERNAMA

Indonesia, Australia, Pancasila

Artikel Lain