suria

Kuasa Dunia Sokong Usul Hantar Pasukan Pemerhati PBB Ke Aleppo

DAMSYIK: Harapan untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan di wilayah bergolak Aleppo kembali bersinar apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencapai kata sepakat untuk menghantar pasukan pemerhati wilayah berkenaan.

Usul resolusi yang dirangka oleh Perancis itu turut mendapat sokongan Rusia dengan menetapkan tugas pasukan pemerhati PBB untuk memantau proses perpindahan penduduk dan melaporkan nasib orang awam yang masih terperangkap di wilayah utara Syria itu.

Kesemua 15 anggota majlis turut menuntut semua pihak untuk memastikan tugas pemantauan dilaksanakan segera dan selamat.

Wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari ibu pejabat PBB di New York, Mike Hanna berkata, buat pertama kali selepas beberapa usaha menemukan kegagalan untuk menamatkan krisis di Aleppo, kesemua 15 anggota Majlis Keselamatan PBB menyokong resolusi menghantar pasukan pemantau ke wilayah itu.

Sebelum ini, Rusia menggunakan kuasa veto untuk membantah resolusi yang sama.

"Langkah seterusnya adalah kerahan pasukan pemantau PBB dan pasukan bantuan antarabangsa ke Aleppo," kata Hanna.

Bagaimanapun tidak dinyatakan tarikh bermulanya proses pemantauan itu dilaksanakan.

Duta Syria ke PPB, Bashar Jaafari bagaimanapun mengutuk resolusi itu yang disifatkan sebagai sebahagian propaganda untuk menentang Syria dan usaha kerajaan menghapuskan kumpulan pengganas.

Aleppo, PBB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain