suria

Nahas Chapecoense: Bolivia Tahan CEO Syarikat Lamia

Penyokong dan ahli keluarga pasukan Chapecoense semasa hadir pada majlis pengebumian di Stadium Chapecoense pada Sabtu lalu.

PIHAK berkuasa Bolivia menahan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan yang terlibat dalam nahas udara yang meragut 71 nyawa termasuk pasukan bola sepak, Chapecoense pada minggu lalu.

Gustavo Vargas, seorang jeneral tentera udara bersara, ditahan bagi membantu siasatan terhadap kemalangan itu.

Pesawat itu yang dikendalikan syarikat penerbangan Lamia membawa pasukan Chapecoense ke Colombia apabila ia kehabisan bahan api.

Seorang pegawai Bolivia berkata, beliau mengingatkan juruterbang mengenai masalah itu sebelum berlepas.

Pegawai itu, Celia Castedo yang kini cuba mendapatkan perlindungan di Brazil berkata dia menerima pelbagai ugutan dan cacian.

Pasukan Chapecoense berlepas ke Medellin untuk perlawanan pertama aksi final Piala Sudamericana menentang Atletico Nacional.

Pesawat jenis BAE 146 Avro RJ85 itu kehabisan bahan api ketika semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang di Medellin pada 28 November lalu.

Dalam satu rakaman perbualan yang bocor, juruterbang, Miguel Quiroga didengar memberitahu bahawa berlaku 'kegagalan elektrik sepenuhnya' dan 'kekurangan bahan api'.

Menteri Kerajaan Bolivia, Carlos Romero mendesak pihak berkuasa Brazil agar menghantar pulang Castedo.

"Apa yang dilakukan Castedo amat serius. Dia cuba melarikan diri daripada sistem perundangan," katanya.


Chapecoense, nahas udara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain