suria

Golongan Warga Emas Jepun Ditawarkan Diskaun Makanan Jika Serah Lesen Memandu

GAMBAR HIASAN

TOKYO: Golongan warga emas di daerah Aichi, Jepun ditawarkan diskaun bagi setiap pembelian hidangan 'ramen' sekiranya mereka menyerahkan semula lesen memandu, ketika negara itu mengalami peningkatan kadar kemalangan dalam kalangan pemandu yang sudah tua.

Pemandu warga emas yang menyerahkan lesen mereka, layak untuk mendapat diskaun  di 176 cawangan restoran terkenal, Sugakiya berdasarkan kempen yang baru sahaja dilancarkan pada minggu lepas.

Bagi sesiapa yang berbuat demikian, mereka akan menerima sijil khas daripada polis yang boleh digunakan untuk membeli hidangan dengan harga yang lebih murah.

Menurut jurucakap polis Aichi yang enggan dikenali, penerima sijil berkenaan boleh menerima diskaun daripada 590 yen (RM23) kepada 500 yen (RM19).

Berdasarkan statistik agensi polis negara, jumlah kemalangan yang melibatkan pemandu berusia 75 tahun dan ke atas mengalami peningkatan sebanyak 12.8 peratus daripada 7.4 peratus sejak beberapa tahun yang lalu.

Pada 12 November lalu, seorang wanita berusia 83 tahun melanggar mati dua pejalan kaki ekoran pemanduan secara laju manakala pada Oktober lepas, seorang pemandu trak berusia 87 tahun menjadi punca kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolah.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe menggesa lebih banyak langkah diambil untuk menangani kes kemalangan yang berpunca daripada golongan pemandu berumur lebih 75 tahun.

Lebih suku 127 juta penduduk Jepun, berusia 65 tahun ke atas dan kadar ini dijangka akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2060.

Bermula Mac tahun hadapan, pindaan yang diluluskan dalam Undang-Undang Jalan Raya Jepun akan dikuatkuasakan iaitu pemandu yang berusia 75 tahun ke atas perlu mendapatkan sijil yang menunjukkan mereka masih boleh memandu dengan baik.

Selain itu, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga tahun bagi memastikan tahap pemanduan mereka tidak terjejas. - AFP

Jepun

Artikel Lain