suria

Kereta Api Berlanggar Di Pakistan Ragut 19 Nyawa

ORANG ramai membantu pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa yang cedera dalam insiden pelanggaran kereta api di Karachi pada 3 November 2016. - AP

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh apabila sebuah kereta api penumpang bertembung dengan sebuah lagi keretapi lain di bandar Karachi, selatan Pakistan pada Khamis.

Menurut pegawai syarikat kereta api Karachi, Nasir Nazeer, pelanggaran itu berlaku pada waktu awal pagi apabila sebuah kereta api diletakkan di landasan dekat sebuah platform hentian.

Jelasnya, pemandu kereta api kedua yang merempuh kereta api pertama itu, berkemungkinan mengabaikan isyarat trafik dan menjadi punca kemalangan.

"Siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan 50 penumpang turut cedera dalam insiden tersebut," katanya.

Pegawai perubatan Hospital Jinnah di Karachi, Dr Seemi Jamali berkata, tiga wanita dan dua kanak-kanak antara mangsa yang terbunuh.

Tambahnya, lima mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Sementara itu, pegawai polis tempatan, Mukhtar Shah berkata, angka kematian mungkin meningkat kerana pihaknya percaya masih ramai mangsa terperangkap di dalam gerabak kereta api tersebut.

"Kami mendengar suara tangisan dan jeritan dari celahan serpihan," katanya.

Situasi di lokasi insiden menunjukkan banyak geranak terbalik dan hancur selain serpihan bertaburan di serata kawasan. - AP

Pakistan, Pelanggaran, Kereta Api

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain