suria

Pemuda Pekak Mati Ditembak Polis Peronda AS

MIAMI: Seorang pemuda cacat pendengaran yang disyaki memandu melebihi had yang dibenarkan disyaki ditembak mati anggota polis peronda yang mengejarnya sejauh 13 kilometer.

Susulan itu, pihak berkuasa North Carolina, Amerika Syarikat kini menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian melibatkan pemuda pekak, Daniel Harris dan polis peronda lebuhraya, Jermaine Saunders pada Khamis.

Pemuda berusia 29 tahun dikatakan ditembak sebaik tiba di kediamannya di Charlotte, selepas anggota polis berkenaan 'mengejar' Harrus sejauh 13 km kerana kesalahan lalu lintas.

Harris yang menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi meninggal dunia di tempat kejadian, kata Sarjan Michael Baker, jurucakap polis peronda North Carolina.

Siasatan awal mendapati, tiada sebarang senjata ditemui pada pemuda itu. 

Setakat ini, Saunders telah diarahkan bercuti sehingga siasatan berkaitan kejadian itu dilengkapkan termasuk meneliti video pada tubuh dan kenderaan peronda.

Bagaimanapun, jiran Harris menganggap kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

"Dia tidak boleh mendengar siren. Anda mahu seorang yang pekak untuk berhenti sedangkan dia tidak dengar apa-apa pun," katanya.

Keluarga Harris pula telah memulakan tabung secara dalam talian bagi mengumpul dana untuk menguruskan pengebumiannya dan sehingga lewat Isnin lebih $10,000 telah diperoleh.

Baki wang yang terkumpul itu akan digunakan untuk mendidik orang ramai dan melengkapkan anggota penguatkuasaan dengan latihan bagi mengenalpasti serta berhadapan golongan cacat pendengaran. -- AFP





Artikel Lain