suria

8,000 Anggota Polis Turki Dipecat - Pegawai Keselamatan

Ribuan rakyat berkumpul di jalanan sebagai simbol penyatuan dan sokongan kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

ISTANBUL / ANKARA: Kerajaan Turki pada Isnin bertindak memecat anggota polis selepas ribuan daripada kumpulan berkenaan disyaki terlibat dalam percubaan rampasan kuasa yang gagal pada Jumaat lalu.

Hampir 20,000 anggota polis, penjawat awam, pegawai kehakiman termasuk tentera ditahan dan disingkirkan sejak insiden rampasan kuasa berkenaan yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh.

Sesetengah pihak menggesa supaya hukuman mati dilaksanakan kepada perancang rampasan kuasa yang turut berkomplot hingga menarik perhatian sekutu Barat.

Beberapa kebimbangan turut disuarakan Presiden Tayyip Erdogan yang mengatakan beliau hampir ditawan dan dibunuh oleh pemberontak yang mengambil peluang mengukuhkan kuasa mereka dan seterusnya mencetuskan perbezaan pendapat hingga menyebabkan ketegangan dengan Eropah.

Kementerian Luar Turki berkata kritikan terhadap tindakan kerajaan menyebabkan rakyat tidak menyokong penggulingan tersebut.

Seorang pegawai kanan keselamatan memberitahu Reuters seramai 8,000 pegawai polis di seluruh negara termasuk Istanbul dan Ankara telah dipecat kerana disyaki mempunyai hubungan dengan rampasan kuasa pada Jumaat lalu.

Menurut seorang pegawai kementerian, kira-kira 1,500 pegawai kementerian kewangan telah digantung tugas manakala CNN Turki melaporkan 30 gabenor dan lebih daripada 50 kakitangan awam berpangkat tinggi juga telah dilucutkan jawatan.

Cuti tahunan bagi 3 juta penjawat awam juga digantung, dan hampir 3,000 hakim dan pendakwaraya dipecat.

Perdana Menteri Binali Yildirim berkata, setakat ini lebih 7,543 orang telah ditahan, termasuk 6,038 anggota tentera.

Sebuah mahkamah turut menahan reman 26 orang berpangkat panglima dan laksamana, lapor media Turki.

Seorang pegawai di Ankara turut mendakwa bekas Panglima Tentera Udara Turki, Akin Ozturk adalah antara pemimpin yang terlibat dalam rampasan kuasa tersebut.

Bagaimamapun agensi berita Anadolu melaporkan dia telah mengaku bersalah, namun sebuah penyiar swasta Haberturk melaporkan dia cuba menghalang cubaan pemberontakan itu. -Reuters

Turki, Recep Tayyip Erdogan

Artikel Lain