suria

Dua Terbunuh, 80 Cedera Dalam Serangan Bom Tangan

ANTANANARIVO: Dua maut manakala lebih 80 orang lagi cedera dalam serangan bom tangan ketika sambutan hari kebangsaan di ibu kota Madagascar pada Ahad.

Letupan di Stadium Mahamasina di sini berlaku sekitar jam 12 tengah malam waktu tempatan itu.

Presidennya, Hery Rajaonarimampianina, yang melawat mangsa cedera di hospital, menyifatkan serangan berkenaan berpunca daripada ketegangan politik dengan pihak pembangkang.

"Mungkin ada perbezaan pendapat antara kami, namun tindakan semasa ketidakstabilan seperti ini tidak boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen nasional yang turut menyatakan tindakan ini bukan hanya menggugat kestabilan tetapi juga tindakan bersifat keganasan.

Selain menggesa supaya semuanya bertenang, beliau turut menambah bahawa kerajaan tidak akan bertindak balas dengan sebarang keganasan.

Serangan itu mengorbankan remaja berusia 16 dan 18 tahun, manakala 84 yang lain cedera.

Menurut Ketua Keselamatan dan Perisikan, Anthony Rakotoarison kepada AFP melalui panggilan telefon, letupan berkenaan berpunca daripada bom tangan.

Menurut rekod, serangan terakhir ke atas Madagascar adalah pada Januari 2014 apabila satu letupan bom membunuh kanak-kanak dan mencederakan beberapa yang lain di luar stadium yang sama.

Madagascar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain