suria

Jakarta Rangka Pelan Transformasi Sungai Ciliwung

Ahok diiringi anggota pasukan keselamatan meninjau sepanjang Sungai Ciliwung pada Rabu.

WALAUPUN pada mata kasar keadaan persekitaran Sungai Ciliwung kotor dan berbau busuk, Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama menetapkan sasaran utnuk mengubahnya sebagai destinasi pelancongan Indonesia.

Bagi pemimpin bandaraya yang dikenali sebagai Ahok itu, air sungai yang tercemar dan menjadi tempat pembuangan sampah itu adalah cabaran untuk beliau dan pentadbiran Jakarta bagi merealisasikan perancangan transformasi sungai utama di ibu negara itu.

Ketika ini, usaha sedang dijalankan untuk membersihkan sungai berkenaan bagi membolehkan ia menjadi salah satu tarikan pelancong.

"Ciliwung sesuai untuk pelancongan sungai kerana batuan di tebing sungainya cantik dan ia akan dikekalkan," katanya pada Rabu.

Pada masa sama, Ahok menggesa pengurusan pangsapuri berhampiran Sungai Ciliwung supaya mewujudkan kawasan hijau terbuka sehingga ke sungai itu.

Ahok pada mulanya merancang untuk memperkenalkan pengangkutan air di Ciliwung yang melalui kawasan Depok dan Bogor di Jawa Barat, bagaimanapun selepas meninjau sungai berkenaan dia mendapati ia tidak sesuai.

Sehubungan itu, usaha transformasi sungai itu perlu bermula dengan langkah pemulihan menerusi pelbagai program pembersihan melibatkan pekerja kontrak dan memindahkan penduduk setinggan di sepanjang sungai itu.

Pelan yang dirangka melibatkan kawasan seluas sembilan kilometer di sungai sepanjang 19 kilometer. Dianggarkan 50,000 penduduk menetap di sepanjang sungai berkenaan.

Sungai Ciliwung, Ahok, Jakarta

Artikel Lain