suria

Dua Maut, 13 Cedera Dalam Keganasan Terbaru Di Narathiwat, Yala

NARATHIWAT: Dua orang mati ditembak di Yala pagi ini, manakala 13 orang awam dan polis cedera dalam dua kejadian bom motosikal di bandar Narathiwat, selatan Thailand, tengah hari, Isnin.

Dalam kejadian 11 pagi di Muang, Yala, dua peniaga kayu getah dikenali sebagai Hamdi Talubo, 35, dan Yunu Late, 30, ditembak mati sekumpulan lelaki bersenjata yang mengekori kenderaan mereka.

Dua bom motosikal pula, yang masing-masing diletakkan di Lorong Lamai Uthi dan di hadapan Balai Polis Muang, meletup selang satu minit pada pukul 12.18 tengah hari tadi, kata Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Pattanawut Angkanawin.

"Daripada 13 yang cedera, lima daripadanya adalah anggota polis dan seorang kanak-kanak perempuan. Empat rumah serta dua kereta turut mengalami kerosakan akibat letupan itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Kesemua yang cedera dikejarkan ke Hospital Naradhiwas Rajanakarindra untuk mendapatkan rawatan. -- Bernama

Hamdi Talubo, Yala, Muang

Artikel Lain