suria

Jumlah Mangsa Letupan Bom Di Songkla Meningkat 15 Orang

SONGKLA: Jumlah mereka yang cedera dalam kejadian letupan bom di stesen keretapi Chana di sini petang semalam meningkat kepada 15 orang berbanding lapan orang pada Isnin.

Ketua Polis Bahagian Ke-9 Songkla, Lt Jen Polis, Wirapon Chunpakdee berkata bom yang dipasang pada motosikal itu dianggarkan seberat 20 kilogram meledak bersebelahan sebuah kenderaan polis.

Beliau berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, seorang anggota polis berpangkat kapten dan seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Ahmad Yasin Madsan, 2, terbunuh.

"Turut tercedera ialah seorang bayi perempuan berusia 10 bulan dan kanak-kanak perempuan berumur dua tahun selain anggota polis dan orang awam," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Wirapon berkata hasil daripada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian menunjukkan seorang penunggang motosikal meletakkan motosikalnya di sebelah kereta polis sebelum menaiki sebuah lagi motosikal yang ditunggang rakannya.

Beliau berkata bom itu yang diletupkan mengguna alat walkie-talkie turut memusnahkan sebahagian daripada bangunan keretapi terbabit.

Pihak polis telah diarah untuk mengetatkan lagi kawalan keluar masuk kenderaan terutama di pusat ekonomi dan pelancongan di Danok, Sadao dan Hatyai sempena Perayaan Songkran pada 13 hingga 15 April ini, katanya.

Artikel Lain