suria

Red The Angry Birds Duta PBB

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menamakan Red, watak animasi The Angry Birds Movie sebagai Duta Kehormat PBB bagi menggalakkan generasi muda bertindak menangani masalah perubahan cuaca.

Pengumuman itu dibuat pada majlis yang dihadiri ratusan anak muda di dewan PBB sambil berkata: "the Angry Birds telah menggembirakan jutaan penduduk dunia - kini mereka adalah sebahagian usaha untuk menjadikan dunia ini tempat terbaik untuk didiami."

Ban berkata, tiada yang lebih baik untuk meraikan Hari Gembira Antarabangsa pada 20 Mac ini selain duta animasi ini cuba meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menangani isu perubahan cuaca bagi mewujudkan situasi selamat, lebih mapan dan masa depan lebih gembira untuk semua.

Menerusi kerjasama Sony Pictures Entertainment, Program Pembangunan PBB dan Yayasan PBB, kempen ini meminta orang ramai cuba menggembirakan Angry Birds dengan bertindak menangani masalah cuaca seperti kitar semula, menggunakan pengangkutan awam dan menjimatkan air.

Peserta kempen ini diminta berkongsi gambar dan komitmen menerusi laman media sosial menggunakan hashtag #AngryBirdsHappyPlanet.

Sebagai sebahagian peranannya sebagai duta, Red akan jelajah ke seluruh dunia secara alam maya bermula 21 Mac ini bagi mengetengahkan cara untuk menangani isu perubahan cuaca.

Siri jelajah ini akan membawa Red ke Paris, iaitu lokasi di mana perjanjian mengenai usaha memerangi masalah perubahan cuaca ditandatangani dan berakhir pada 22 April di ibu pejabat PBB di New York.

Artikel Lain