suria

16 Maut Bas Bawa Penjawat Awam Meletup Di Peshawar

PESHAWAR: Letupan bom yang dipasang di dalam sebuah bas yang membawa kakitangan kerajaan di sini mengakibatkan sekurang-kurangnya 16 terkorban, manakala lebih 20 penumpang lain cedera.

Setakat ini, tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan ketika bas berkenaan melalui kawasan beli-belah di daerah Saddar.

“Sekurang-kurangnya 16 terbunuh dan lebih 24 orang tercedera di dalam letupan itu yang membabitkan sebuah bas membawa kakitangan kerajaan,” kata pegawai kanan polis, Mohammad Kashif Zulfiqar kepada AFP.

Sejak lebih 10 tahun lalu, Pakistan sedang bergelut dengan pemberontak Islam terutama kumpulan Taliban yang sering melancarkan serangan untuk menggulingkan kerajaan.

Berdasarkan siasatan awal, kata anggota unit pemusnah bom, sebutir bom seberat empat kilogram dipercayai dipasang berdekatan tangki minyak bas itu dan diletupkan dari jarak jauh.

“Bom itu diletakkan di bawah barisan kerusi keenam dari belakang,” kata seorang anggota polis, Abbas Majeed.

Minggu lalu, seorang pengebom berani mati melakukan serangan di pusat beli-belah di bandar Shahqadar sehingga menyebabkan 18 orang maut dan 31 lagi cedera.

Kumpulan Taliban Pakistan, Jamat-ul-Ahrar mengaku bertanggungjawab dalam kejadian itu. – AFP



Artikel Sebelum

Artikel Lain