suria

Mugabe 'Secara Sembunyi' Ke Singapura

Robert Mugabe
PRESIDEN Zimbabwe Robert Mugabe dilaporkan sedang berada di Singapura di mana beliau biasanya menerima rawatan di Hospital Gleneagles untuk penyakit kanser dan katarak.

Mugabe meninggalkan Zimbabwe, kononnya akan ke New Delhi, India, untuk Festival Budaya Dunia (WCF), satu acara yang dianjurkan sebuah organisasi pendidikan dan kemanusiaan yang menggalakkan keamanan melalui penyelesaian konflik, bantuan bencana dan pendidikan untuk semua. WCF bermula hari ini dan berakhir pada Ahad.


Walau bagaimanapun, pemeriksaan dengan laman web WCF, www.artofliving.org yang memperincikan tentang program dan aktiviti majlis itu menunjukkan bahawa Mugabe tidak pernah disenaraikan sebagai salah seorang penceramah dan tidak terlibat untuk program ini.

Tokoh-tokoh lain yang menghadiri festival itu disenaraikan nama berserta peranan mereka.

Ini termasuklah Presiden Nepal Bidhya Devi Bhandari, Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena, bekas presiden Mozambique Joaquim Chissano, bekas Presiden Nigeria Olusegun Obasanjo dan bekas perdana menteri Perancis Dominique de Villepin.

Turut hadir, beberapa wakil Kongres Amerika Syarikat, Ahli Parlimen Kesatuan Eropah, eksekutif perniagaan, menteri, wartawan serta wakil-wakil kebudayaan.

Jurucakap Mugabe George Charamba kelmarin mengeluarkan kenyataan akhbar mengatakan Mugabe telah membatalkan perjalanan ke India kerana isu-isu keselamatan.

"Pembatalan ini adalah susulan komunikasi dengan penganjur festival itu yang mengakui tentang kurangnya protokol dan pengaturan keselamatan di sekitar majlis itu," kata Charamba.

Walau bagaimanapun, bertentangan dengan kenyataan Charamba, Menteri Pengajian Tinggi Jonathan Moyo semalam berkata di Twitternya bahawa Mugabe tidak berada di India.

"Dia tidak berada dan tidak pergi ke India seperti mana yang anda harapkan dia akan berada di sana," Moyo menulis sambil menambah: "Tidak berada di negara ini tidak bermakna dia berada di India atau telah ke India."

Pertembungan antara dua pegawai kanan kerajaan mengenai di mana Mugabe berada menambah kekeliruan, ditambah dengan misteri mengenai perjalanan Mugabe ke Singapura.

Walaupun Charamba berkata lawatan itu dibatalkan atas alasan keselamatan, pemeriksaan menunjukkan bahawa Mugabe tidak pernah sampai ke India.

Sebaliknya, Mugabe dikatakan meninggalkan Harare pada Selasa (7 Mac) dengani penerbangan Air Zimbabwe UM1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Harare pada pukul 6 petang dan tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 10.45 pagi (waktu Singapura) selepas penerbangan 10 jam.

Tinjauan oleh badan bebas Zimbabwe menunjukkan bahawa Mugabe berada di Singapura, tempat yang dikunjungi beliau untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Dia tidak pernah berada di India. Mugabe, yang baharu memasuki usia 92 tahun, dua minggu lalu menghidap kanser prostat dan masalah mata.

Pegawai kerajaan berkata Mugabe menggunakan WCF sebagai 'alasan'  untuk pergi ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Robert Mugabe, WCF

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain