suria

Pelancong Dari Britain, Perancis Ditahan Berbogel Di Machu Picchu

LIMA: Pihak berkuasa di Peru pada Khamis menahan sepasang pelancong Eropah yang mengambil gambar bogel di runtuhan gunung Machu Picchu, lapor media.

Pengawal telah melihat dua lelaki itu; seorang rakyat Britain dan seorang lagi Perancis selepas mereka menanggalkan pakaian untuk mengambil gambar bogel dengan telefon bimbit, lapor agensi berita Andina memetik polis sebagai berkata.

Mereka telah dibawa ke balai polis dan kemudian ke mahkamah, di mana mereka didakwa kerana melakukan salah laku moral.

Peru meningkat pengawasan di tapak itu pada Mac 2014 apabila gambar bogel dan tidak senonoh sering dirakamkan di Machu Picchu.

Machu Picchu adalah sebuah lokasi runtuhan Inca pra-Columbus yang terletak di wilayah pergunungan pada ketinggian sekitar 2,350 meter.

Ia berada di atas lembah Urubamba di Peru, sekitar 70 km barat laut Cusco dan dipilih sebagai tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 1983.
pelancong bogel, Machu Picchu

Artikel Lain