suria

Gempa Tainan: 123 Mangsa Berjaya Diselamatkan

Anggota penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan tersebut.

TAIPEI: Seramai 123 mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan daripada bangunan yang runtuh akibat gempa bumi kuat di bandar Tainan, selatan Taiwan, awal pagi Sabtu.

Pegawai bomba memberitahu, setakat ini, tiada laporan mengenai kematian dalam gempa bumi 6.4 magnitud itu, yang berlaku menjelang waktu subuh.

"Terdapat 60 keluarga membabitkan kira-kira 240 orang menetap di bangunan itu," kata Pegawai Maklumat Biro Bomba Kerajaan Bandar Tainan, Lee Po Min.

Terdahulu, sekurang-kurangnya empat bangunan runtuh termasuk sebuah pangsapuri mewah susulan gempa bumi kuat itu.

Berdasarkan rakaman video dramatik menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial menunjukkan beberapa bangunan runtuh dan tumbang manakala sebuah lagi senget susulan gempa berkenaan.

Pasukan penyelamat turut dilihat sedang berusaha mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

Menurut Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu melanda pada kedalaman 10 kilometer kira-kira jam 2000 GMT pada Jumaat, 39 kilometer timur laut Kaohsiung, bandar kedua terbesar di pulau itu dan juga pelabuhan penting.

Gempa itu pada mulanya dilaporkan 6.7 magnitud tetapi diturunkan kepada kepada 6.4.

Sehubungan itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, kejadian tsunami tidak dijangka berlaku di sekitar kawasan Pasifik. 


gempa bumi, Tainan

Artikel Sebelum

Artikel Lain