suria

Penyerang Bersenjata Ceroboh Hotel Mewah Di Mali, Tawan 170 Orang

Pengunjung dan kakitangan Hotel Radisson Blu yang berjaya menyelamatkan diri dibawa ke tempat selamat.

BAMAKO: Sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan sambil melaungkan "Allahu Akbar" dan menawan kira-kira 170 orang ketika menyerang hotel mewah yang dipenuhi warga asing di ibu negara Mali pada pagi Jumaat.

Serangan di Hotel Radisson Blu yang terletak berhampiran pejabat kerajaan dan diplomatik di negara bekas jajahan Perancis itu berlaku seminggu selepas serangan militan Negara Islam (IS) yang mengorbankan 129 orang di Paris.

Identiti kumpulan bersenjata Bamako masih belum diketahui.

Wilayah utara Mali kini dikuasai pengganas yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda  sejak 2012.

Sumber pihak keselamatan berkata, sekurang-kurangnya 10 lelaki bersenjata menceroboh bangunan itu dan melepaskan tembakan sambil berteriak "Allahu Akbar".

Agensi berita China, Xinhua berkata, beberapa pelancong China adalah antara yang terperangkap dalam bangunan itu.

Pegawai kanan unit keselamatan hotel itu berkata, dua anggotanya tercedera akibat serangan yang bermula pada pukul 7 pagi itu.

Mali, Bamako, Hotel Radisson Blu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain