suria

Paris: Orang Ramai Sedang Berkabung Lari Akibat Bunyi Letupan

PARIS: Suasana panik sekali lagi menyelubungi lokasi serangan pengganas di sini apabila berlaku letupan dan percikan api ketika orang ramai sedang berkabung.

Letupan dan percikan api itu didakwa berpunca daripada letupan mentol yang menerangi lokasi kejadian selepas tempat itu menjadi tumpuan orang ramai meninggalkan bunga dan lilin.

Akibat kejadian di Place de la Republique itu, orang ramai yang berada di lokasi kejadian bertempiaran lari kerana menyangka terdapat serangan senjata api.

"Kami sedang menyanyi bersama sekumpulan kanak-kanak sebelum semua orang lari dan kami juga turut lari," kata Laurine.

Seorang pemuda pula memberitahu, mereka melarikan diri selepas menyangka terdapat tembakan daripada pengganas.

Penduduk yang masih panik dan trauma dengan kejadian itu bertindak menghubungi polis sebelum pihak berkuasa mengesahkan bahawa ia hanya letupan mentol.

Pada Jumaat malam, Paris dikejutkan dengan serangan pengganas di beberapa lokasi di ibu negara berkenaan sehingga menyebabkan seramai 129 orang terkorban.

Paris

Artikel Lain