suria

Wartawan Pakistan Ditembak Mati, Taliban Dakwa Lakukan Serangan

Zaman Mehsud.

DERA ISMAIL KHAN (Pakistan): Seorang lelaki bersenjata yang menunggang motosikal menembak mati seorang wartawan warga Pakistan di wilayah bergolak di barat laut negara itu pada Selasa dan kumpulan militan Taliban kemudiannya mendakwa melakukan serangan tersebut.

Ia menjadikan angka kematian melibatkan wartawan dan petugas media yang terbunuh di Pakistan meningkat kepada 71 orang sejak 2002.

Zaman Mehsud, 38, merupakan wartawan yang bertugas dengan akhbar harian Daily Umet dan agensi berita SANA.

Mangsa juga berkhidmat dengan badan bebas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan.

Komander Taliban Qari Saif Ullah Saif memberitahu Reuters: "Kami bunuh dia (Mehsud) kerana dia menulis berita yang 'menentang' kami... kami mempunyai beberapa nama wartawan lagi dalam senarai kami, kami akan jadikan mereka sebagai sasaran tidak lama lagi."

Abang mangsa, Muhammed Aslam memberitahu, Mehsud meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

Pegawai polis, Mir Salam berkata, serangan itu berlaku dekat utara bandar Tank.

Menurut doktor, Mehsud ditembak menggunakan empat peluru yang mengenai bahagian dada.

"Maklumat awal kami menunjukkan Zaman (Mehsud) dibunuh oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal dekat pondok pemeriksaan tentera," kata Salam.

Sekurang-kurangnya 67 wartawan dan petugas media terbunuh antara Januari 2002 dan 2014, menurut badan bebas pemberita, 'Reporters Without Borders'.

Tahun ini sahaja seramai empat orang terbunuh termasuk Mehsud. - Reuters


Taliban, Zaman Mehsud

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Rusia Serang Kubu IS Di Syria

Artikel Lain