suria

Majalah 'Playboy' Henti Siar Gambar Bogel

'Playmate of the Year': Dani Mathers, memegang plak dengan muka depan majalah Playboy Jun 2015. -fotoREUTERS
NEW YORK: Kini pembaca majalah Playboy, sebuah majalah lelaki dengan kulit berkilat dan terkenal dengan gambar-gambar bogel boleh menyatakan dengan jujur bahawa mereka membeli majalah itu kerana kandungannya.

Majalah Playboy tidak akan menyiarkan lagi gambar bogel wanita, lapor New York Times pada Isnin, dalam artikelnya memetik Scott Flanders, ketua eksekutif syarikat sebagai berkata.

Pengasasnya, Hugh Hefner, 89, yang terkenal dengan baju tidur suteranya dan telah menjadikannya sebagai gaya hidup Playboy, bulan lepas telah bersetuju dengan cadangan editor terkenal, Cory Jones untuk berhenti menerbitkan gambar wanita berbogel, menurut Times.


Apabila setiap remaja lelaki mempunyai telefon pintar dan laman web penuh dengan pornografi, majalah itu telah membuat pilihan untuk terus memaparkan gambar 'pose' provokatif wanita, tetapi tidak bogel sepenuhnya, kata Times.

"Anda kini hanya dengan satu klik sahaja dapat melihat seks yang diimaginasi secara percuma," Flanders dipetik sebagai berkata dalam akhbar Times.

Majalah yang memaparkan wajah Marilyn Monroe pada kemunculan sulungnya pada tahun 1953 membuat perubahan itu selepas edaran menurun dari 5.6 juta pada tahun 1975 kepada kira-kira 800,000 sekarang.

Selepas kejayaan awal, majalah itu telah diserang pelbagai pihak kerana gambar bogel yang disiarkan termasuklah golongan wanita yang mengatakan ia menjadikan wanita sebagai objek seks.

Beberapa perubahan masih dalam perdebatan. Wanita akan menjadi kolumnis seks majalah Playboy, yang menulis dengan penuh semangat tentang seks, Jones memberitahu Times.

Majalah itu sentiasa mempunyai tarikan intelektual dengan penulis terkenal seperti Kurt Vonnegut, Joyce Carol Oates, Vladimir Nabokov, James Baldwin dan Alex Haley untuk lelaki yang suka untuk mengatakan bahawa mereka tidak membeli majalah hanya untuk gambar.

Temu bual secara mendalam dengan tokoh-tokoh bersejarah seperti Fidel Castro, Martin Luther King Jr, Malcolm X dan John Lennon juga satu ciri biasa.
majalah Playboy, gambar bogel

Artikel Lain