suria

Gempa Bumi Nepal: 20 Mayat Reput Ditemui Bawah Runtuhan

KATHMANDU: Selepas lebih tiga bulan gempa bumi teruk melanda Nepal, 20 mayat lagi dijumpai pada Selasa di bawah runtuhan kediaman yang musnah di Lamtang, Rasuwa, kira-kira 85 kilometer di utara Kathmandu.

Ketua Pentadbir Rasuwa, Shiva Ram Gelal berkata pegawai keselamatan terlibat dalam operasi mencari menemukan 20 mayat di bawah runtuhan berkenaan tetapi identiti mereka tidak dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat sudah reput.

"Mayat-mayat itu dihantar ke Tribbuvan University Teaching Hospital untuk ujian forensik kerana identiti mereka tidak dapat dikenal pasti," kata Gelal.

Berikutan penemuan mayat berkenaan, angka kematian akibat gempa bumi pada 25 April itu meningkat kepada 9,012 orang.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter itu telah memusnahkan hartanah bernilai berbilion dolar.

Jurucakap Kementerian Luar Laxmi Prasad Dhakal berkata, mayat akan diserahkan kepada anggota keluarga selepas identiti dikenal pasti melalui ujian DNA.

Anggota penyelamat menghentikan kerja mencari selepas tidak menemukan sebarang tanda terdapat mangsa yang terselamat atau mayat di Lamtang tetapi  penduduk setempat bertegas bahawa terdapat anggota keluarga dan sahabat-handai mereka yang masih hilang dan mungkin tertimbus di bawah runtuhan.

Lebih 400 orang dilaporkan masih hilang di Lamtang termasuk beberapa warga  asing.

"Kami menyambung usaha mencari atas gesaan penduduk setempat yang membawa kepada penemuan lebih banyak mayat.

"Kami meneruskan operasi mencari dan berharap dapat menemukan lebih banyak mayat kerana ada penduduk mendakwa terdapat anggota keluarga mereka masih hilang," kata pegawai polis Rasuwa, DSP Prabin Pokhrel kepada Bernama.

Katanya lebih 100 penduduk dilaporkan hilang didaftarkan di Rasuwa selepas gempa bumi, iaitu 82 warga Nepal dan 22 rakyat asing.

Lamtang merupakan destinasi kembara dan banyak warga asing berada di kawasan ini semasa gempa bumi melanda.

Nepal, Kathmandu

Artikel Lain