suria

Letupan Beg Udara Honda Catat Kematian Ketujuh

TOKYO: Syarikat kenderaan Jepun, Honda melaporkan kematian terbaharu yang mempunyai kaitan dengan insiden letupan beg udara, menjadikan angka korban global akibat krisis berkenaan meningkat kepada tujuh orang.

Kejadian yang turut mengakibatkan puluhan lain mengalami kecederaan itu juga mendorong syarikat itu memanggil semula lima juta kenderaan.

Menerusi kenyataan itu, Honda mengesahkan seorang wanita di Louisiana, Amerika Syarikat (AS) maut selepas inflator di dalam beg udara kereta Honda Civic keluaran 2005 miliknya pecah dan menghamburkan serpihan logam ke arah mangsa.

Pengesahan itu dibuat selepas anak syarikat Honda AS membuat laporan kematian wanita itu kepada Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya Trafik Nasional pada Jumaat lepas.

Pengumuman itu menandakan satu lagi masalah buat pembekal beg udara yang berpangkalan di Tokyo, Takata.

Bulan lalu, firma itu bersetuju untuk menarik balik dua kali ganda kenderaan di AS melibatkan hampir 34 juta kenderaan yang dibina oleh beberapa jenama terbesar di dunia.

Honda yang melantik presiden baharu pada minggu ini bagi membantu mengatasi krisis tersebut yang paling teruk terjejas akibat penarikan semula itu selain Toyota, Ford, General Motors, Nissan dan BMW.

Dalam pada itu, pihak atasan Takata memberitahu wakil-wakil rakyat AS pada bulan ini bahawa syarikat tersebut yang juga pengeluar beg udara di dunia masih mencari punca letupan tersebut. – AFP


Honda, beg udara, Louisiana

Artikel Lain