suria

Terjaga Daripada Koma, Remaja Tanya Tentang Juventus

SEORANG remaja Itali yang tersedar dari koma bertanya kepada ibu bapanya adakah pasukan kegemarannya masih lagi bersaing dalam Liga Juara-Juara(UCL).

Selepas sebulan berada di dalam keadaan koma, remaja yang dikenali sebagai Michael itu tersedar dan menunjukkan keutamaan bagi dirinya untuk bertanya sama ada pasukan Juventus masih kekal dalam saingan UCL.

Degupan jantung remaja berusia 14 tahun itu dikatakan berhenti tetapi digerakkan semula dengan menggunakan defibrilator sebelum menerima rawatan lanjut dan diletakkan di dalam keadaan koma untuk membantu memulihkan organ-organ di hospital San Raffaele.

Daktor yang merawat remaja itu, Alberto Zangrillo berkata, Michael tidak mempunyai kecederaan pada bahagian otak kerana dia masih mampu mengingati perkara yang berlaku sebelum insiden itu berlaku.

"Perkara pertama yang diucapkan adalah 'hello' kepada kedua orang tuanya dan bertanya sama ada Juventus masih bersaing dalam UCL.

"Dia mengingati segala-galanya jadi ini bermakna dia tidak mempunyai kecederaan otak," katanya.

Pasukan Zangrillo menggunakan teknik revolusi untuk memanaskan darah remaja itu sebelum mengepam oksigen ke dalam badan untuk memastikan dia masih hidup.

"Ini merupakan kepuasan terbesar dalam kerjaya profesional saya secara keseluruhan.

"Mudah-mudahan pasukan Juventus dapat mengembirakan Michael pada perlawanan akhir UCL menentang Barcelona nanti," katanya lagi.

Michael dikatakan telah melompat dari jambatan ke dalam sungai sedalam lebih enam kaki tetapi gagal untuk kembali ke permukaan.

Pasukan kecemasan memerlukan hampir 45 minit untuk menyelamatkan remaja itu dengan membentuk rantaian manusia untuk mengheret Michael dari dasar sungai.

Juventus akan berdepan saingan Barcelona pada perlawanan akhir UCL yang akan berlangsung di Berlin, Jerman, awal pagi Ahad.



Juventus, Itali, Barcelona

Artikel Lain