suria

9 Terbunuh Insiden Gaduh, Tembak Ahli Kelab Motosikal Di Texas

WASHINGTON: Sembilan terbunuh, manakala beberapa lagi cedera dalam insiden tembakan yang berlaku selepas tercetus pergaduhan antara ahli kelab motosikal di Waco, Texas.

Pertempuran yang bermula di sebuah restoran kemudian berlarutan di tempat letak kereta melibatkan tiga kumpulan kelab motosikal pada Ahad. 

"Tembak menembak berlaku apabila beberapa ahli kumpulan yang pada awalnya hanya menggunakan pisau mengeluarkan senjata api," kata Sarjan W. Patrick Swanton kepada CBS affiliate KWTX.

Media tempatan melaporkan seramai 18 cedera akibat terkena tembakan dan luka tikaman.

Pemeriksaan awal menemui 100 senjata yang dikumpulkan di sekitar kawasan kejadian tersebut.

Bagaimanapun pihak berkuasa Waco memberitahu di laman Facebook tiada pegawai polis tercedera dalam pertempuran yang bermula di dalam restoran Twin Peaks itu.

Pertempuran bermula di dalam restoran sebelum ahli kumpulan berpindah ke tempat letak kereta di kompleks membeli-belah Central Texas dan tembakan berlaku pada tengah hari, Ahad.

Kumpulan tersebut seperti dilaporkan Waco Tribune-Herald kerap dilihat melepak di restoran tersebut dan pemilik restoran itu.

Dalam pada itu, Swanton berkata, beberapa saksi telah dipindahkan ke lokasi selamat selepas menerima maklumat beberapa ahli kumpulan itu dari seluruh Texas sedang menuju lokasi kejadian.

Polis turut memberi amaran kepada penduduk agar tidak mendekati kawasan tersebut.

"Kami telah menutup keseluruhan Central Texas Marketplace ini dan jika anda berada di sini perlu meninggalkan kawasan ini sekarang. Atas sebab-sebab keselamatan anda diberi amaran tidak menghampiri kawasan ini," tulis Polis Waco di laman sosial Facebook rasminya.
Texas, Jenayah, Maut

Artikel Lain