suria

Pilihan Raya Umum Britain: Parti Konservatif Kekalkan Kuasa

PM Britain, David Cameron melambai tangan kepada para penyokong Parti Konservatif di hadapan ibu pejabat parti itu di London pada awal pagi Jumaat selepas mereka memenangi pilihan raya umum Britain yang berlangsung pada 7 Mei 2015. Bersama-samanya ialah isterinya, Samantha.

> Parti Buruh pimpinan Ed Miliband isytihar kekalahan

> Parti Konservatif yang memerintah capai 326 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah 

> Bagaimanapun parti pimpinan Timbalan PM, Nick Clegg kalah teruk 

> Parti Kebangsaan Scotland yang pro-kemerdekaan sapu bersih kerusi di Scotland

LONDON: Ketua Parti Konservatif David Cameron akan memohon mengadap Ratu Elizabeth II untuk membentuk kerajaan selepas mereka menang besar dalam pilihan raya umum Britain yang berlangsung pada Khamis dengan memperolehi majoriti mudah 326 kerusi.

Ini bermakna, Konservatif tidak memerlukan sokongan lain-lain parti kecil seperti rakan kongsi mereka yang lalu, Liberal Demokrat untuk membentuk kerajaan campuran. 

Sehingga berita ini ditulis, 643 buah kerusi telah diumumkan secara rasmi pemenangnya dan daripada itu Parti Konservatif berjaya memenangi 326 buah kerusi (pada pilihan raya 2010: 302) manakala pencabar terdekat mereka, Parti Buruh hanya mampu meraih 230 kerusi (pilihan raya 2010: 256).

Ini bermakna, Parti Konservatif telah mencapai kejayaan yang jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum 2010 yang menyaksikan mereka memperolehi 302 kerusi.

Sejumlah 326 buah kerusi diperlukan untuk mencapai majoriti mudah dalam parlimen Britain yang mempunyai 650 buah kerusi. 

Masih terdapat tujuh kerusi sahaja lagi yang belum diumumkan keputusannya. Jika seandainya kesemua tujuh kerusi tersebut dimenangi oleh parti-parti lain, ia tetap tidak menjejaskan pembentukan kerajaan tunggal satu parti oleh Konservatif.

Great Britain adalah kesatuan empat buah negara di kepulauan British yang terdiri daripada England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Parti Liberal Demokrat yang merupakan rakan kongsi Konservatif dalam pembentukan kerajaan Britain selepas pilihan raya 2010  tewas teruk namun masih mampu menguasai lapan kerusi berbanding 56 kerusi yang mereka menang sebelum ini. Nick Clegg bagaimanapun berjaya mempertahankan kerusinya di Sheffield Hallam tetapi telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ketua parti.

Ketika membentuk kerajaan campuran lima tahun yang lalu, Konservatif telah menjemput Liberal Demokrat sebagai rakan kongsi dengan memberi jawatan timbalan perdana menteri kepada Nick Clegg disamping enam kerusi kabinet kepada parti berkenaan.

Namun begitu, kejutan paling besar muncul daripada Parti Kebangsaan Scotland yang pro-kemerdekaan penuh pimpinan Nicola Sturgeon yang berjaya memenangi 56 daripada 59 kerusi yang dipertandingkan di Scotland (berbanding enam sahaja pada pilihan raya lalu) yang sebelum ini merupakan kubu kuat Parti Buruh.

Barang diingat, ketika era pemerintahan Parti Buruh sebelum 2010, Great Britain dipimpin oleh dua orang perdana menteri yang berasal dari Scotland iaitu Tony Blair dan Gordon Brown.

Parti yang berpusat di Ireland Utara, DUP pimpinan Peter Robinson berjaya mengekalkan lapan kerusi yang mereka menangi pada 2010 manakala parti berhaluan kanan yang anti-imigran UKIP pimpinan Nigel Farage hanya menang satu kerusi.

Satu lagi kerusi dimenangi oleh Parti Hijau, pimpinan Natalie Bennet.

Artikel Lain