suria

13 Maut Dalam Insiden Ngeri

BAGHDAD: Seramai 13 orang awam terkorban dalam nahas ngeri apabila sebuah bom kereta diletupkan di sini pada Sabtu.

Pihak polis menyifatkan nahas tersebut antara kejadian yang mengerikan berlaku di ibu negara Iraq.

Menurut pihak polis, sekurang-kurangnya 13 orang terkorban manakala 39 lagi tercedera akibat nahas bom kereta yang berlaku berdekatan sebuah restoran popular di kawasan Karrada.

Kawasan Karrada dipenuhi deret-deret kedai serta restoran dan menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu.

Setakat ini tiada individu yang bertanggungjawab terhadap nahas tersebut yang berlaku selepas beberapa kejadian letupan bom yang sama di kawasan Baghdad.

Seramai 11 orang terbunuh dan 40 lagi tercedera dalam nahas bom kereta pada Khamis manakala sembilan orang terkorban dalam dua nahas di Baghdad pada Isnin.

Kumpulan jihad Negara Islam(IS) mendakwa serangan tersebut dibuat untuk membalas dendam bagi serangan ke atas pelarian dari Wilayah Sunni di beberapa kawasan syiah di Baghdad.

Seramai 114,000 orang awam terpaksa melarikan diri semasa pertempuran antara tentera kerajaan dan Militan IS di kawasan Ramadi yang terletak di wilayah barat Anbar dan dikawal oleh kumpulan pengganas Sunni.

Pihak polis berkata terdepat beberapa mangsa yang diculik dan dibunuh di bandar tersebut termasuk empat mayat yang ditemui yang mempunyai kesan tembakan di kepala pada 25 April lalu.

"Kadar serangan yang dibuat semakin menurun berbanding tahun lalu walaupun terdapat serangan letupan bom baru-baru ini," kata pihak polis.

Jumlah serangan bom dan tembak menembak semakin menurun berikutan satu serangan besar yang dibuat oleh militan IS yang merampas kawalan kuasa hampir seluruh kawasan utara dan barat bandar tersebut.

Perintah berkurung di ibu negara Iraq telah ditarik balik apabila pihak tentera berjaya merampas kawalan di beberapa wilayah daripada militan IS pada Februari.

Tentera Iraq mencapai kejayaan terbesar dalam konflik 11 bulan itu apabila berjaya menawan semula Kota Tikrit pada April lalu.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kawasan lagi yang masih dikawal militan IS.













Baghdad

Artikel Lain