suria

Gempa Nepal: Kematian Meningkat, Mangsa Tunjuk Perasaan

KATHMANDU: Jumlah kematian dalam gempa bumi 25 April di Nepal meningkat ke 5,020 dan ia dijangka terus bertambah ketika pekerja menyelamat masih berusaha mengeluarkan mayat dari kawasan runtuhan. 

Menurut jurucakap kementerian dalam negeri Balbhadra Giri, jumlah itu adalah bagi mayat yang dikeluarkan setakat Rabu petang sementara bilangan yang cedera mencecah 7,624. 

Ketika kerajaan menumpukan usaha mencari dan menyelamat, mangsa-mangsa menuduh kerajaan kurang memberi perhatian terhadap kerja pemulihan. 

Mereka menunjuk perasaan pada Rabu di Kathmandu atas sikap sambil lewa kerajaan dalam operasi menyelamat dan melakukan pemulihan. 

Mereka mendakwa Perdana Menteri Sushil Koirala sendiri bertanggungjawab atas prestasi yang lembab. 

Mangsa-mangsa melaungkan slogan anti-kerajaan dan menuntut tindakan pantas dalam operasi menyelamat dan pemulihan bila Koirala yang diiringi PanglimaTentera Darat Jeneral Gaurav Sumsher Rana pada Rabu melawat dan meninjau mercu tanda dan bangunan warisan yang dilanda gempa.  

"Undur perdana menteri yang tidak cekap"; "Kosongkan kerusi perdana menteri"; "Beri kami bekalan pemulihan segera", laung sekumpulan kurang daripada 1,000 penduduk yang berhimpun di Istana Basantapur, istana tua Nepal.  

Koirala datang ke Istana Basantapur, kawasan yang diisytihar Unesco sebagai warisan arkeologi dan budaya.   

"Rumah-rumah kami telah musnah dan kami tinggal di khemah, dan tidak mendapat sebotol air pun dalam empat hari ini sejak gempa," kata Paramananda Shrestha, seorang aktivis sosial.  

Mangsa-mangsa di beberapa bahagian lain Kathmandu turut mengadakan perarakan menuntut diberi bekalan pemulihan segera lagi berkesan. 

Bagaimanapun, kerajaan menafikan ia bersikap sambil lewa dalam operasi pemulihan dan menegaskan ia telah melakukan segala daya untuk menyalurkan bekalan pemulihan semaksimum mungkin kepada mangsa dan mereka yang memerlukan. 

"Kami telah menggerakkan segala jentera kerajaan dan telah bekerjasamadengan organisasi kebangsaan dan antarabangsa serta masyarakat penyumbang," kata Dr Minendra Rijal, Menteri Penerangan dan Komunikasi, yang juga jurucakap kerajaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain