suria

Tentera Nigeria Selamatkan 293 Mangsa Culik Boko Haram

Sebahagian pelajar perempuan warga Nigeria dari kampung Chibok yang diculik oleh kumpulan militan Boko Haram. Foto AFP

TENTERA Nigeria menyelamatkan seramai 200 pelajar perempuan dan 93 wanita yang diculik oleh kumpulan militan Boko Haram.

Portal Mail Online melaporkan bahawa usaha itu dilakukan dalam operasi tentera di Hutan Sambisa di timur laut negara itu.

Bagaimanapun, ia mengesahkan bahawa mereka yang diselamatkan bukan pelajar perempuan yang diculik dari kampung Chibok, setahun lalu.

Tentera Nigeria memuat naik kenyataan mereka di laman sosial Twitter: "Tentera telah menyelamat 200 budak perempuan dan 93 wanita dari Hutan Sambisa.

"Kita tidak mengesahkan sekiranya budak-budak perempuan dari Chibok dalam kumpulan ini (yang diselamatkan)," katanya sambil menambah bahawa ia turut memusnahkan tiga kem yang diuruskan oleh militan.

Para diplomat dan pegawai risikan berkata, mereka percaya sekurang-kurangnya sebahagiannya ditahan di hutan kira-kira 966 kilometer dari Chibok walaupun alat pemantau Amerika Syarikat (AS) gagal mengesan mereka.

Dilaporkan, Boko Haram menculik lebih 200 pelajar perempuan dekat utara kampung Chibok pada April 2014.

Sementara itu, menurut Amnesty International dalam satu laporan bahawa Boko Haram menculik sekurang-kurangnya 2,000 wanita dan pelajar perempuan sejak awal 2014, dengan kebanyakannya dijadikan hamba seks atau dilatih untuk bertempur. - MAIL ONLINE

Boko Haram

Artikel Lain