suria

Mahkamah EU Keluarkan Hamas Dari Senarai Pengganas

LUXEMBOURG: Mahkamah Umum menerima permohonan Hamas yang menuntut supaya pertubuhan pejuang Palestin itu dikeluarkan daripada senarai pengganas Kesatuan Eropah (EU).

Pegawai kanan Hamas, Izzat al-Rishq, menulis di Twitter mengenai keputusan itu malam Rabu.

Katanya, penghakiman mahkamah itu adalah kemenangan kepada perjuangan menuntut hak Palestin yang dirampas oleh musuh.

“Keputusan mengeluarkan Hamas daripada senarai pengganas EU menamatkan ketidakadilan yang dikenakan kepada kami yang bergerak sebagai kumpulan pembebasan kebangsaan,” katanya.

Mahkamah menangguhkan pelaksanaan keputusan itu selama tiga bulan bagi membolehkan EU atau satu daripada 28 negara anggotanya memberi petisyen balas.

Namun Hamas menyambut baik keputusan hakim. Israel pula seperti biasa mengutuknya.

Perbicaraan di mahkamah itu adalah bersifat teknikal dan prosedur, malah tidak mengubah pendirian EU terhadap Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Tel Aviv tidak berpuas hati dengan penjelasan diberi EU bahawa ia cuma isu teknikal.

“Beban mengemukakan bukti terletak pada EU dan kami mengharapkan mereka kembali memasukkan Hamas ke senarai pengganas seperti difahami semua pihak.

“Hamas adalah pertubuhan pengganas yang menyatakan matlamat mereka ialah untuk memusnahkan Israel.

“Kami akan terus menentang Hamas dengan bersungguh-sungguh supaya mereka gagal mencapai matlamat yang diingini,” katanya.

Dalam penghakimannya, mahkamah berkata, kebanyakan bukti yang digunakan untuk meletakkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas diambil dari sumber terbuka, dengan kebanyakannya bergantung kepada penerbitan media.

Mahkamah juga menegaskan, keputusannya tidak menyentuh status Hamas atau sifat pertubuhan itu.

Mahkamah EU, Hamas, Israel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain