suria

Pemandu Teksi Uber Rogol Penumpang Ditahan Sebelum Lari Ke Nepal

Polis mengesan suspek (tengah) ketika cuba melarikan diri ke Nepal selepas didakwa terbabit dalam kejadian serangan dan merogol penumpang wanita teksi Uber yang dipandunya pada Jumaat.

MATHURA (INDIA): Pemandu teksi Uber yang didakwa merogol penumpang wanita berusia 27 tahun pada Jumaat lalu ditahan sebelum sempat melarikan diri ke Nepal.

Selepas kejadian itu, suspek yang dikenali sebagai Shiv Kumar Yadav menghubungi isteri dan anak tirinya supaya menyiapkan bagasinya.

Bagaimanapun, cubaannya untuk melarikan diri gagal apabila polis dapat mengesan pergerakannya dan menahannya di Uttar Pradesh.

"Suspek membeli telefon bimbit dan kad SIM baharu di Mathura untuk menghubungi keluarganya dan memaklumkan dia terbabit dalam pergaduhan dengan seseorang.

"Dia juga mendakwa ada pihak yang cuba membabitkannya dengan tuduhan palsu dan dengan itu mereka sekeluarga perlu meninggalkan rumah sewa yang didiami di Chandrapuri," kata pegawai kanan polis berhubung kes itu.

Siasatan mendapati, Yadav menggunakan tiga telefon bimbit dan polis akan membawanya ke Meerut untuk mendapatkan semula telefon pintar yang dilengkapi dengan aplikasi Uber untuk melakukan jenayah.

Sepanjang tempoh tahanan tiga hari, polis juga sedang menyiasat sama ada suspek pernah melakukan jenayah sama terhadap penumpang wanita yang lain.

Dalam kejadian Jumaat lalu itu, mangsa menaiki teksi di kawasan Vasant Vihar pada pukul 10.58 malam dan suspek  dilaporkan menyerang penumpangnya itu di sebuah kawasan terpencil di ibu kota India.

"Dia memakir teksinya di kawasan sampah berhampiran Najafgarh selepas merogol mangsanya," kata Timbalan Komisioner (Utara) Madhur Verma.

Mangsa bertindak menghubungi panggilan kecemasan pada pukul 1.16 pagi sebelum ditemui di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan.

Kejadian tersebut memberi kesan buruk kepada syarikat teksi berkenaan, yang selama ini mementingkan keselamatan, lapor Yahoo.news.

Pihak polis juga mengkritik Uber kerana siasatan menunjukkan bahawa peranti GPS tidak disertakan dalam teksi suspek, malah  pemeriksaan mandatori oleh pihak polis terhadap pemandu juga tidak dilakukan.

teksi Uber, rogol, Uttar Pradesh

Artikel Sebelum

Tuah Sang Kucing Jutawan

Artikel Berikut

Artikel Lain