suria

Protes Besar-Besaran Di NY Bantah Polis

Orang-ramai keluar ke jalan raya di bandar New York pada malam Rabu, 3 Disember 2014 untuk memprotes keputusan juri untuk tidak mendakwa seorang anggota polis kulit putih yang dituduh bertanggungjawab di atas kematian seorang lelaki kulit hitam di bandar ini Julai lalu.

NEW YORK: Dianggarkan lebih 5,000 warga bandar raya ini keluar ke jalan raya untuk memprotes keputusan juri pada Rabu untuk tidak mendakwa seorang anggota polis kulit putih yang dituduh membunuh seorang lelaki kulit hitam ketika dia ditahan Julai lalu kerana disyaki menjual rokok haram.

Insiden ini berlaku selang beberapa minggu selepas rusuhan kaum yang menyaksikan bandar Ferguson di Missouri, Amerika dijarah dan dibakar oleh penduduk kulit hitam yang tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah untuk tidak mendakwa seorang anggota polis kulit putih yang menembak mati remaja kulit hitam berusia 19 tahun kerana disyaki merompak.

Dalam kejadian terbaru ini, beribu orang telah keluar berarak dari Pusat Rockefeller di tengah-tengah bandar raya ini dan juga di hadapan pusat tumpuan pelancong iaitu Dataran Times (Times Square) sambil menjerit “No justice, no peace,” (tiada keadilan, tiada keamanan).

Polis telah menahan sekurang-kurangnya 30 orang. Ia telah disahkan oleh Pesuruhjaya Polis New York, Bill Bratton.

Akhbar terkemuka, The Washington Post melaporkan perarakan itu bermula dengan jumlah yang kecil di kawasan Broadway sebelum jumlahnya mencecah ke angka lebih 5,000 orang sebaik sahaja mereka tiba di Dataran Times.

Insiden yang berlaku di New York ini melibatkan seorang lelaki kulit hitam Eric Garner berusia 43 tahun yang ditahan kerana disyaki menjual rokok haram.

Yang lebih memburukkan keadaan ialah, insiden dia ditahan dan disoal siasat telah dirakamkan menerusi video.

Ia menunjukkan yang Garner telah dihumban ke tanah dengan lehernya dijerut sambil dia menjerit "saya tidak boleh bernafas...saya tidak boleh bernafas."

Mangsa adalah pengidap penyakit asthma.

Peguam Negara, Eric Holder menegaskan yang Jabatan Undang-Undang Persekutuan akan melancarkan siasatan hak asasi ke atas kes ini yang melibatkan anggota polis kulit putih bernama Daniel Pantaleo.

Artikel Lain