suria

Andy Murray Umum Bakal Berkahwin Tahun Depan

MANILA: Bekas juara Wimbledon, Andy Murray berharap dapat mengahwini teman wanitanya yang dikenalinya sembilan tahun lalu, Kim Sears tahun depan selepas mengumumkan pertunangan mereka, minggu lalu.

"Kami ada rancangan untuk berkahwin tahun depan, tetapi tarikhnya belum ditetapkan lagi," kata Murray kepada wartawan yang ditemuinya ketika menyertai kejohanan Liga Perdana Tenis Antarabangsa (IPTL) pada Ahad.

Berusia 27 tahun berkata, menjelang Krismas kali ini, beliau merancang untuk meluangkan masa bersama keluarga di Scotland, sebelum ke Melbourne untuk Kejohanan Terbuka Australia pada Januari.

Pada IPTL setakat ini, Murray belum memenangi perlawanan di Filipina kerana selepas pasukannya, Manila Mavericks tewas kepada Indian Aces yang diketuai Roger Federer dan Ana Ivanovic pada Sabtu.

Pemain nombor enam dunia itu tewas kepada Gael Monfils 6-4 sebelum tewas kali kedua apabila bergandingan dengan Maria Sharapova bagi kategori bergu campuran ketika menentang pakar bergu, Rohan Bopanna dan Sania Mirza.

Murray yang turut tewas dua kali ketika menentang UAE Royals pada Jumaat berkata, pasukannya terpaksa bertarung untuk menang pada perlawanan pertama dalam kejohanan itu kerana tidak biasa dengan format berkenaan.

"Kami tidak biasa menjadi sebahagian ahli pasukan seperti ini. Bagaimanapun ia pengalaman yang baik, malah menyeronokkan kerana melakukan sesuatu yang berbeza," katanya.
Andy Murray, Kim Sears, Manila, Wimbledon

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain