suria

Ebola: Arab Saudi Larang Umat Islam Afrika Barat Tunai Haji, Umrah

Jangkitan wabak Ebola boleh membawa maut.
RIYADH: Sebagai sebahagian langkah pencegahan untuk melindungi jemaah haji daripada dijangkiti wabak Ebola, kerajaan Arab Saudi mengumumkan perintah melarang kemasukan umat Islam dari negara Afrika Barat.

"Kami sudah sampaikan arahan itu kepada pegawai di semua pintu masuk. Malahan, semua pegawai sudah dilatih untuk mengenal pasti dan mengendalikan kes Ebola serta langkah untuk mengawal penyebaran virus itu, jika ia berlaku," katanya jurucakap Kementerian Kesihatan negara itu, Dr Khalid Marghalani kepada Arabian Business.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan virus Ebola dipercayai meragut 800 nyawa membabitkan penduduk di dua negara Muslim iaitu Guinea dan Sierra Leone, selain Liberia sejak wabak itu bermula Februari lalu.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi melarang pengeluaran visa haji dan umrah untuk penduduk tiga negara terbabit kerana bimbang ia boleh menyebabkan penyebaran wabak itu pada musim haji ini.

Kementerian itu juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Haji dan Hal Ehwal Luar untuk melaksanakan beberapa langkah pencegahan di sempadan dan juga lapangan terbang.

Setiausaha Hal Ehwal Haji, Dr. Hussein Shareef, Ministry pula berkata, kementeriannya akan mengambil pelbagai langkah pencegahan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Sementara itu, Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Sivil, Khalid Al-Khaibari berkata, tiada penerbangan terus antara Arab Saudi dengan ketiga-tiga negara berkenaan kecuali pada musim haji.

Ketika ini, republik Guinea paling teruk dijangkiti wabak Ebola yang dikesan sejak 1976.

Wabak yang sehingga kini gagal menemui penawarnya bermula dengan tanda-tanda seperti sakit kepala, sakit otot sebelum muntah, cirit-birit serta pendarahan dalaman dan luaran.

Kadar kematian wabak ketika ini mencecah 60 peratus, walaupun Ebola sebenarnya boleh meragut hingga 90 peratus nyawa yang menghidapinya.

Arab Saudi, Ebola, haji, umrah, Afrika

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain