suria

Perancis Berdepan Huru-Hara Dalam Penerbangan Ekoran Mogok

PARIS: Perancis bakal menghadapi huru-hara dalam perjalanan melalui udara selepas badan penerbangan awam di negara ini pada Isnin menggesa syarikat penerbangan mengurangkan sehingga 20 peratus penerbangan di Paris dan beberapa bandar-bandar lain ekoran mogok kakitangan menara kawalan udara.

Mogok selama enam hari yang dipanggil oleh kesatuan perdagangan utama itu dijangka bermula pada Selasa.

Agensi penerbangan awam berkata tiga suku daripada penerbangan akan beroperasi secara purata. 

Penerbangan ke selatan Perancis, Sepanyol, Portugal, Morocco, Tunisia dan Algeria yang berlepas dari Paris akan terjejas sedikit, dengan perkhidmatan dikurangkan sebanyak 20 peratus.

Syarikat penerbangan diminta untuk mengurangkan penerbangan sebanyak 20 peratus di lapangan terbang di selatan Perancis untuk melegakan tekanan.

Mogok itu yang berlaku di tengah-tengah musim pelancongan dalam sebuah negara yang menarik lebih ramai pelancong asing berbanding negara lain di dunia, dilakukan ekoran penstrukturan semula sistem kawalan trafik udara di Eropah yang akan menyebabkan pengurangan pekerja dan penambahan beban kerja.


Dua kesatuan pengawal udara terbesar, SNCTA dan Unsa-ICNA, telah mengatur mogok selama enam hari dari hari Selasa, memberi amaran 'gangguan teruk', tetapi SNCTA kemudian membatalkan tindakannya.

Mogok itu dilakukan lebih awal dari tarikh akhir pembentangan pelan bajet Perancis pada 30 Jun ini bagi sektor ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perancis, mogok, menara kawalan udara

Artikel Lain