suria

Budak 11 Tahun Rakyat Britain Termuda Didakwa Membunuh

Kawasan kediaman di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disyaki terbabit dalam kes pembunuhan.

LONDON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menjadi rakyat Britain paling muda dalam sejarah jenayah negara itu apabila didakwa membunuh dalam masa terdekat.

Remaja yang identitinya dirahsiakan atas alasan undang-undang itu didakwa kerana memecah masuk ke kediaman Mark Thomas dan menyebabkan kematian lelaki berusia 39 tahun itu.

Kanak-kanak itu kini masih ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Wimbledon.

Pasukan polis menemui mayat Thomas dengan kesan kecederaan serius akibat ditikam pada paru-paru di kediamannya di Roehampton, barat laut London pada 22 April lalu.

Susulan kejadian itu, remaja berusia 15 tahun telah didakwa, manakala seorang lagi rakannya berusia 17 tahun dibebaskan atas jaminan selepas ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian sama,

Ketua Detektif Jenayah Berat Scotland Yard, Charlie King, berkata masih terlalu awal untuk memberi sebarang ulasan berhubung kejadian itu dan pihaknya masih menyiasat pelbagai kemungkinan yang mendorong kejadian itu berlaku.

"Penduduk setempat turut membantu polis dengan memberi maklumat mengenai individu yang dilihat berada di sekitar kawasan kejadian.

"Bagaimanapun, bagi sesiapa yang mempunyai maklumat yang lebih terperinci dan kukuh diminta segera hubungi kami," katanya.




Britain, London, bunuh, Mark Thomas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain