suria

Ketua PBB Ucap Tahniah Kepada Rakyat Afghanistan Pada Hari Pengundian Bersejarah

Pengundi-pengundi lelaki di Kabul, Afghanistan beratur panjang untuk membuang undi pada Sabtu.
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (Amerika Syarikat): Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon pada Ahad mengucapkan tahniah kepada rakyat Afghanistan untuk 'pencapaian penuh makna' dalam pilihan raya mereka dengan menggesa keadilan dan ketelusan dalam proses pengiraan undi yang panjang.

Afghanistan berdepan ancaman serangan Taliban pada hari pengundian pada Sabtu bagi memilih pengganti kepada Presiden Hamid Karzai, peralihan kuasa secara demokrasi yang pertama di negara ini.

"Berjuta-juta pengundi wanita dan lelaki yang membuang undi mereka merupakan bukti keberanian dan komitmen rakyat Afghanistan untuk melaksanakan hak-hak mereka dan membentuk masa depan mereka," kata Ban.

Penyertaan mereka, walaupun berdepan ancaman dan ugutan, 'menghantar mesej yang kuat bahawa pelaku keganasan tidak boleh menang' kata ketua PBB itu.

Beliau mengucapkan tahniah kepada penganjur dan menggesa mereka memastikan keputusan akhir yang boleh mengambil masa berminggu-minggu untuk disahkan 'menggambarkan kehendak pengundi.'

Sementara itu calon utama dalam pilihan raya presiden itu menyuarakan kebimbangan jika proses pengundian telah dicemari oleh penipuan.

Ban meminta rakyat Afghanistan untuk menyokong institusi pilihan raya kerana mereka bekerja 'secara adil, telus dan bagi kepentingan rakyat Afghanistan.'

Sebarang penipuan besar-besaran yang berulang-ulang yang memburuk pemilihan semula Karzai pada tahun 2009 boleh melemahkan kesahihan pemenang.

Ban juga mengalu-alukan penyertaan yang kukuh daripada kaum wanita sebagai satu langkah ke hadapan dan mempunyai suara terhadap masa depan negara mereka secara sama dengan pengundi lelaki Afghanistan.
Ban Ki-moon, Afghanistan, PBB

Artikel Lain